LAPORAN berita pada 17 Oktober lalu berhubung satu hantaran di Threads oleh seorang pemilik haiwan yang mendakwa kucingnya mati akibat jerebu menarik perhatian penulis.
Walaupun pakar veterinar menegaskan bahawa punca sebenar kematian tidak dapat disahkan tanpa pemeriksaan terperinci, kes tersebut telah mencetuskan perbincangan mengenai kesan pencemaran udara terhadap haiwan peliharaan.
Menurut pemilik Kitty's Care Veterinary Clinic and Surgery, Dr Muhammad Naim Md Kasim, partikel halus dalam udara tercemar boleh memasuki saluran pernafasan haiwan, sekali gus menyebabkan kerengsaan dan keradangan yang menjejaskan fungsi paru-paru.
Beliau turut mengingatkan bahawa haiwan yang menghidap penyakit pernafasan atau jantung, selain yang sudah berusia, berisiko mengalami komplikasi yang lebih serius apabila terdedah kepada jerebu secara berpanjangan.
Pada pandangan penulis, masih ramai pemilik yang menganggap jerebu tidak memberi kesan besar kepada haiwan peliharaan mereka. Mungkin kerana haiwan tidak mampu mengadu atau menunjukkan simptom yang jelas seperti manusia. Namun, sistem pernafasan mereka juga terdedah kepada partikel halus dan bahan pencemar yang terdapat di udara.
Apabila partikel ini memasuki saluran pernafasan, ia boleh mencetuskan keradangan dan menjejaskan kesihatan paru-paru dari semasa ke semasa. Haiwan yang tinggal di dalam rumah juga akan terjejas oleh jerebu.
Zarah pencemar masih boleh memasuki rumah melalui pintu, tingkap atau sistem pengudaraan. Lebih membimbangkan, gejala yang dialami kadangkala sukar dikesan pada peringkat awal. Ada yang sekadar kelihatan kurang aktif, tidur lebih lama atau hilang selera makan. Sesetengahnya pula mengalami mata berair, batuk, bersin atau kesukaran bernafas.
Bagi penulis cabaran terbesar ialah haiwan tidak mampu memberitahu apa yang mereka rasakan. Jika manusia mengalami sesak nafas akibat jerebu, kita boleh mendapatkan rawatan atau mengambil langkah perlindungan dengan segera.
Sebaliknya, haiwan hanya bergantung kepada kepekaan pemilik untuk mengenal pasti sebarang perubahan pada tingkah laku atau keadaan fizikal mereka. Justeru, setiap perubahan walaupun kecil, tidak seharusnya dipandang ringan.
Apa yang lebih membimbangkan, kes masalah pernafasan dalam kalangan haiwan peliharaan dilaporkan semakin meningkat. Dr Muhammad Naim berkata, kes gangguan pernafasan dalam kalangan kucing di beberapa kliniknya meningkat sekitar 10 hingga 15 peratus sejak pertengahan September.
Dalam laporan sama, doktor veterinar Dr Nurafiqah Ahmad turut memaklumkan bahawa jumlah kes harian yang disyaki berkaitan jerebu di kliniknya di Dengkil, meningkat hampir dua kali ganda.
Antara gejala yang dilaporkan termasuk mata berair, batuk, asma, tekanan pernafasan dan kesukaran bernafas.
Ancaman senyap
Perkembangan ini sepatutnya menjadi peringatan kepada semua pemilik bahawa jerebu boleh menjadi ancaman senyap kepada haiwan kesayangan mereka.
Walaupun haiwan kelihatan sihat secara luaran, pendedahan berterusan kepada udara tercemar boleh menjejaskan kesihatan mereka dalam jangka panjang.
Terdapat beberapa langkah mudah yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko tersebut. Antaranya ialah mengehadkan masa haiwan berada di luar rumah, memastikan pengudaraan dalaman berada pada tahap baik serta menyediakan bekalan air yang mencukupi.
Jika haiwan menunjukkan tanda-tanda seperti tercungap-cungap, batuk berpanjangan atau terlalu lesu, pemeriksaan veterinar perlu dilakukan dengan segera.
Kasih sayang terhadap haiwan bukan sekadar memberi makan dan menyediakan tempat berteduh yang selesa. Ia juga melibatkan keprihatinan terhadap ancaman yang mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Ketika kita melindungi diri dan keluarga daripada jerebu, jangan lupa bahawa si bulus di rumah sedang menghirup udara yang sama.
*Puperahaizad Darsono ialah Sub Editor Sinar Harian




