6 sami warga India ditahan

8 Oct 2019 • 3:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

GEORGETOWN- Enam sami warga India ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang dalam satu serbuan di sebuah kuil di Jalan Dato Keramat kira-kira jam 10 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, kesemua lelaki yang bertugas di kuil berkenaan tiada permit sah pemeriksaan dokumen mendapati mereka sepatutnya bekerja di sektor perladangan di negara ini namun menyalahgunakan pas kerja mereka.

"Kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 40-an ditahan kerana menyalahgunakan permit kerja dan akan disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu dalam serbuan berasingan, Muhamad Husni berkata, pihaknya turut menyerbu kedai menjual kelapa di Lorong Selamat di sini dan menahan tiga lelaki warga India kerana didapati tinggal lebih masa di negara ini.

Menurutnya, pasukannya turut menyerbu sebuah pusat mencuci kenderaan di Kampung Jawa Lama di sini dan menahan tiga lelaki warga Bangladesh atas kesalahan sama.

"Serbuan turut dilakukan di sebuah kedai runcit di Jalan Dato Keramat dan menahan seorang lelaki warga Bangladesh dan dua wanita Indonesia kerana tinggal lebih masa.

"Pemeriksaan turut dibuat di sebuah restoran menjual makanan bak kut teh di Jalan Macalister dan menahan lima lelaki warga Myanmar kerana didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa yang ditetapkan," katanya.

Muhamad Husni berkata, kesemua 20 warga asing yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Juru untuk tindakan lanjut.


View Original Article