
PONTIAN – Keluarga tiga beradik yang maut serentak dalam nahas membabitkan sebuah lori di Kampung Parit Haji Siraj, di sini, sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pemandu kenderaan berat itu bagi mendapatkan keadilan buat anak-anak mereka.
Ibu mangsa, Julaiha Munaji, 42, berkata, meskipun kehilangan tiga anaknya itu tidak mungkin dapat digantikan dengan apa-apa sekalipun, dia berharap kematian mereka mendapat pembelaan sewajarnya.
“Siapa pun tidak ingin atau sanggup kehilangan tiga anak serentak tetapi saya berharap kematian mereka mendapat pembelaan sewajarnya.
“Walaupun anak-anak saya tidak akan kembali, saya mahu keadilan ditegakkan untuk mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Haji Siraj, di sini semalam.
Terdahulu, dia menerima kunjungan Persatuan Kebajikan Prihatin Daerah Pontian (PKPDP) yang turut dihadiri Pengerusi PKPDP, Datuk Ng Sea Bu di kediamannya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi pada Khamis lalu, tiga beradik, Nur Daniel Aiman Norlizan, 18, Nur Daniel Fikri, 11, dan Puteri Naufa Raisha, 8, maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori.
Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang selepas Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sapran ditutup susulan keadaan jerebu.
Nur Daniel Fikri dan Puteri Naufa Raisha meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala abang mereka, Nur Daniel Aiman, disahkan meninggal dunia di Hospital Pontian.
Dalam perkembangan sama, Julaiha berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan ahli keluarga sebelum memutuskan tindakan lanjut yang akan diambil berhubung kejadian itu.
Katanya, dia juga sedang mendapatkan maklumat daripada individu yang menyaksikan kemalangan berkenaan bagi membantu keluarga memahami apa sebenarnya yang berlaku.
Dalam pada itu, Julaiha merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir menziarahi keluarganya serta menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
Sementara itu, Sea Bu berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib keluarga berkenaan yang kehilangan tiga anak dalam tragedi menyayat hati itu.
Beliau berharap sumbangan yang disampaikan dapat membantu meringankan beban keluarga Julaiha dalam menghadapi dugaan berat tersebut. -KOSMO! ONLINE
The post ‘Siapa ada maklumat kejadian, tolong bantu kami’ appeared first on Kosmo Online.





