
KUALA LUMPUR - Pengganti kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menolak undangan untuk merasmikan kongres sayap Pemuda dan Wanita pada Khamis ini akan dimaklumkan selepas mendapat nasihat serta pandangan Presiden parti.
Memaklumkan kepada Scoop, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya juga akan meminta pandangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR untuk melihat pengganti perasmi termasuk kalangan naib presiden.
Beliau berkata, keputusan akan dibuat secepat mungkin berikutan kongres yang akan berlangsung beberapa hari lagi.
“Saya akan minta nasihat daripada Presiden parti, selain turut meminta pandangan AMK dan Wanita untuk melihat siapa yang boleh merasmikan (jika Rafizi kekal dengan keputusan menolak undangan),” katanya hari ini.
Selain itu Fuziah berkata, bukan hanya beliau dan Presiden parti menerima surat Rafizi menolak undangan merasmikan Kongres Pemuda serta Wanita pada 22 Mei ini.
Beliau berkata, isu itu terlalu remeh untuk dijawab namun menegaskan dakwaan Rafizi itu tidak tepat.
“Tak benar ia hanya dihantar kepada presiden parti dan setiausaha agung,” katanya.
Terdahulu, Rafizi berpegang kepada pendiriannya untuk tidak menghadiri Kongres Pemuda dan Wanita PKR, yang secara tradisinya dirasmikan timbalan presiden atas alasan prinsip berbanding politik.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, keengganannya disebabkan pelanggaran protokol parti selepas pelancaran jentera pilihan raya PKR Sabah yang didakwa diumumkan tanpa perbincangan oleh Biro Politik PKR atau Majlis Pimpinan Pusat terlebih dahulu.
Timbalan Presiden PKR itu juga mendakwa surat sulitnya berkenaan perkara itu yang hanya ditujukan kepada Anwar dan Fuziah dibocorkan.
Salinan surat itu yang tular di media sosial mendedahkan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek juga disenaraikan sebagai penerima. - 20 Mei, 2025
The post Siapa ganti Rafizi rasmi sayap PKR? Tunggu nasihat Presiden: Fuziah appeared first on Scoop.
