Siapa pantau Tasik Bera, Tapak Ramsar negara?

LocalEnvironment
22 Sep 2026 • 8:05 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Siapa pantau Tasik Bera, Tapak Ramsar negara?

BERA: Pencerobohan yang berlaku di kawasan Tasik Bera, Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) pertama negara di sini, mencetuskan persoalan besar dalam kalangan masyarakat iaitu siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab memantau dan menjaga kawasan berstatus antarabangsaa tersebut.

Walaupun pelbagai agensi termasuk Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) serta Pejabat Daerah dan Tanah Bera dikatakan terlibat dalam operasi penguatkuasaan, namun aktiviti penerokaan ha­ram tetap berleluasa sehingga menimbulkan kebimbangan kehilangan pengiktirafan Ramsar.

Persoalan itu semakin mendesak apabila lebih 7,000 hektar kawasan hutan simpan dilaporkan diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah serta pelbagai tanaman kontan sekali gus menjejaskan biodiversiti unik Tasik Bera yang menjadi kebanggaan negara sejak 1994.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan reputasi negara di mata dunia.

“Jika pencerobohan ini berte­rusan, Malaysia berisiko kehila­ngan pengiktirafan Ramsar yang menjadi simbol komitmen kita terhadap pemuliharaan alam sekitar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Ahmad berkata, pemantauan saintifik yang berterusan perlu dilaksanakan dengan melibatkan universiti tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan data ekologi sentiasa dikemas kini.

Selain itu, katanya, program Komunikasi Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) harus diperluas kepada komuniti sekitar Tasik Bera supaya masyarakat benar-benar memahami tanggungjawab menjaga tapak Ramsar.

“Kerjasama masyarakat setempat bersama pihak berkuasa adalah kunci. Tanpa sokongan komuniti, penguatkuasaan sahaja tidak akan mencukupi,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan bilangan pegawai penguat kuasa ditambah, khususnya dari Perhilitan dan Jabatan Perhutanan bagi memperkukuh kawalan di kawasan Tasik Bera.

“Ini bukan sekadar isu pencerobohan hutan tetapi soal maruah negara dalam me­ngekalkan status antarabangsa Tasik Bera sebagai tapak Ramsar,” tegasnya.

Baru-baru ini, Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali dilaporkan berkata, kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera yang diiktiraf sebagai Tapak Ramsar sejak 1994 kini berdepan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar dilaporkan diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah serta pelbagai tanaman kontan.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan sudah diambil bagi memastikan penerokaan haram terhadap kawasan diwartakan pada 30 Ogos 2007 ini dapat dibanteras.-UTUSAN.

The post Siapa pantau Tasik Bera, Tapak Ramsar negara? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved