
KUALA LUMPUR - Polis sedang memburu individu yang dikesan memasak di stesen minyak di Genting Highlands baru-baru inu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, laporan polis mengenai insiden itu diterima pada jam 12.35 tengah hari semalam.

Menurut beliau, kejadian berkenaan berdasarkan laporan, melibatkan sekumpulan pemilik kenderaan dan ia menimbulkan kebimbangan serta kegusaran kepada masyarakat.
“Siasatan polis mendapati klip video terbabit tular di platform X dan telah dimuat naik pada 13 Mei.
“Video berdurasi sekitar 50 saat itu memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan melakukan aktiviti memasak di stesen minyak,” katanya.
@getaranmy Terpaling healing, terpaling main masak-masak, tapi kalau terjadi apa-apa, siapa yang akan tanggung nanti tu? #getaranmy #viral ♬ original sound - Getaran
Jelas Zaiham, polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kegusaran am kepada orang awam.
“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.
“Polis Bentong juga akan mengambil tindakan tegas dan membuat operasi bersepadu di sekitar lokasi stesen minyak berkenaan, khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.
“Kami mendapat aduan, lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik kenderaan untuk berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam dan pengguna jalan raya lain,” katanya. - Getaran, 15 Mei 2024

