Siaran Langsung: Laungan Allahuakbar sambut wira flotilla, 'Free Palestine!' bergema di KLIA

LocalPolitics
7 Oct 2025 • 9:44 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SEPANG, 7 OKT: Seramai 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka tiba jam 9.50 malam ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Menurut Ketua Unit Komunikasi Korporat Kementerian Luar Negeri, Zul Izwan Hamzah, ketibaan kumpulan sukarelawan itu akan turut disusuli sidang media Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Mereka (sukarelawan Malaysia) akan tiba di tanah air pada jam 9.50 malam ini dengan menaiki pesawat Emirates EK0342.

“Susulan itu, satu sidang media khas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual berlangsung pada 11 malam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat khas kepada petugas media di KLIA Terminal 1, di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Zul Izwan turut memaklumkan hanya petugas media yang memiliki kad perakuan media rasmi dibenarkan membuat liputan dalam kawasan ditetapkan bagi tujuan kawalan keselamatan.

Suasana di KLIA Terminal 1 ketika ini juga dipenuhi kehadiran orang awam yang datang sejak 6 petang tadi bagi menunjukkan sokongan serta solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Laungan “Allahuakbar” dan “Free Palestine!” turut bergema di sekitar balai ketibaan sebagai tanda semangat dan penghargaan kepada wira serta wirawati negara yang menyertai misi kemanusiaan tersebut.