'Siasat dakwaan salah guna kuasa isu pemindahan Dara, Amoi, Kelat dengan telus' - PN Taiping

LocalPolitics
22 Jun 2026 • 3:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Siasat dakwaan salah guna kuasa isu pemindahan Dara, Amoi, Kelat dengan telus' - PN Taiping
Maizatulazwa (empat dari kanan) sebelum ini turut serta dalam himpunan Selamatkan DAK yang dibuat di pekarangan Zoo Taiping & Night Safari.

TAIPING - Perikatan Nasional (PN) Parlimen Taiping menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara telus berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah bernama Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Tennoji Zoo Osaka, Jepun.

Penyelaras PN Parlimen Taiping, Maizatulazwa Abdul Rahim berkata, pihaknya menyambut baik tindakan SPRM yang membuka kertas siasatan rasmi berkaitan perkara tersebut.

Menurutnya, siasatan itu penting memandangkan ia melibatkan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan berkenaan yang dikaitkan dengan agensi kerajaan.

"Saya menyambut baik tindakan SPRM yang telah membuka kertas siasatan rasmi berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah Dara, Amoi dan Kelat ke Tennoji Zoo Osaka.

"Kami memohon agar siasatan ini benar-benar dilaksanakan secara jujur, telus dan bertanggungjawab, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sebelum ini pelbagai kenyataan telah dikeluarkan oleh beberapa pihak yang mempertahankan perjanjian pemindahan tersebut.

Bagaimanapun katanya, perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai satu langkah positif hasil desakan dan usaha rakyat yang bangkit membantah perkara yang didakwa melibatkan kepentingan awam.

Dalam pada itu, Maizatulazwa berharap siasatan dapat diselesaikan dalam tempoh segera dan segala fakta berkaitan isu tersebut dapat didedahkan kepada umum.

Beliau turut berharap tiga ekor gajah berkenaan dapat dikembalikan ke tempat asal mereka sekiranya terdapat sebarang pelanggaran dalam urusan pemindahan itu.

Terdahulu media melaporkan SPRM membuka kertas siasatan berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, SPRM memaklumkan siasatan itu memberi tumpuan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta ejen yang terlibat dalam urusan pemindahan tiga ekor gajah berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved