Siasat Juga Individu Timbulkan Isu Logo Kasut Vern's - AMK

9 Apr 2024 • 2:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Haziq Azfar Ishak - gambar Facebook

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa perlu menimbangkan untuk turut menyiasat individu bertanggungjawab membangkitkan isu logo di tapak kasut jenama Vern's yan mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, ia bagi memastikan siasatan dilakukan berjalan secara seimbang tanpa sebarang elemen berat sebelah atau pilih kasih.

“Berikutan perkembangan terbaru di media sosial terkait logo pada tapak kasut jenama Vern's yang didakwa mirip dengan kalimah Allah, siasatan yang dilaksanakan wajar dilakukan secara seimbang melibatkan kedua-dua pihak iaitu wakil syarikat dan juga individu yang membangkitkan dakwaan tersebut.

“Tatkala kita tidak boleh dengan mudah meremehkan sebarang usaha untuk mempertahankan kesucian kalimah Allah, usaha ini juga wajar dilakukan berlandaskan kesahihan isu yang dibawa dan tidak dilakukan secara semberono sehingga berupaya menganiaya pihak lain,” katanya.

image is not available
Logo di tapak kasut Vern's yang didakwa menyerupai kalimah Allah hingga mencetuskan kontroversi baru-baru ini - gambar fail

Jelas Haziq Azfar, tindakan harus diambil terhadap individu terbabit sekiranya hasil siasatan menunjukkan dakwaan dibuatnya tidak sahih atau tidak memiliki asas yang kukuh.

“Dia wajar dihukum dan menghadapi akibat daripada perbuatannya sekiranya siasatan jelas menunjukkan dakwaan dibuat itu tidak sahih.

"Kecuaiannya menyebarkan maklumat palsu boleh memberi kesan kepada keharmonian kaum," katanya.

Beliau menarik perhatian, kain fabrik sosial rakyat Malaysia berada di tahap yang semakin membimbangkan.

"Tidak berbaloi rakyat Malaysia saling bercakaran dan mengoyakkan kain ini lagi hanya berdasarkan isu-isu yang tidak jelas kesahihannya,” katanya.

Logo pada tapak kasut Vern’s menjadi topik hangat apabila ada pembeli mendakwa rekaan dihasilkan itu menyerupai kalimah Allah.

Ia mencetuskan pelbagai reaksi apabila ada segelintir pihak lagi tampil membuat penafian dan berkata, ia hanyalah lakaran sebuah sepatu bertumit tinggi.

Pengurusan Vern’s Holding pula menerusi hantaran di Facebook semalam memberitahu, logo berkenaan sebenarnya mengambil inspirasi daripada garisan tali yang bersambung dengan kasut tumit tinggi. 

Susulan kontroversi itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mengarahkan JAKIM membuat siasatan dengan memanggil wakil syarikat kasut tersebut. - Getaran, 9 April 2024