
KUALA LUMPUR - Tragedi ngeri yang meragut nyawa sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) harus disiasat secara menyeluruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak berkuasa juga perlu menyalurkan bantuan sewajarnya kepada semua mangsa dan keluarga masing-masing.
“Salam takziah diucapkan kepada keluarga anggota-anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan, pagi tadi.
“Saya turut mendoakan agar kesemua yang cedera dalam insiden ini diberikan kesembuhan sesegera mungkin selain dipermudahkan segala urusan,” katanya menerusi hantaran di X.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kematian sembilan anggota berkenaan adalah satu kehilangan besar buat negara, keluarga dan rakan-rakan.
Menurut beliau, anggota FRU adalah wira negara yang sentiasa bersedia berada di barisan hadapan, demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
“Tragedi ini amat menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Saya mendoakan agar roh mangsa yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat sukar ini,” katanya.

Beliau menerusi kenyataan sama memberi jaminan, Kementerian Komunikasi sentiasa bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan media dalam menyampaikan maklumat sahih.
“Kementerian juga sedia menyekat berita palsu berhubung insiden ini demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan.
“Sama-sama juga kita berdoa agar kesemua anggota yang cedera dalam kejadian ini diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan rawatan mereka,” katanya.

Sembilan anggota FRU maut, manakala dua lagi dilaporkan parah selepas trak dinaiki bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan batu.
Nahas berkenaan berlaku di Jalan Chikus-Sungai Lampam dekat Teluk Intan, Perak sekitar jam 8.30 pagi tadi. - Getaran, 13 Mei 2025


