
KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dengan teliti pemberian tender ke atas kontraktor dewan selera Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Tinjauan Getaran di beberapa platform media sosial mendapati, majoriti netizen menyifatkan proses itu mampu ‘menjernihkan’ keadaan yang kini hangat susulan kekecohan melibatkan kontraktor di MRSM Taiping.
Mereka mendakwa, ada antara tender berkenaan diberi kepada kroni atau menerima sokongan dan bantuan ‘orang dalam’ agar diluluskan.
Pemilik akaun Ejay Kambing Golek King misalnya berkata, proses pemutihan perlu dilakukan agar segala kepincangan dapat diperbaiki pada kadar segera.
“Buat pemutihan...selongkar semua dewan makan tak kira la yang swasta or government.
“Kat sana nanti terbongkar la semua...bawa sahabat baik tu sekali SPRM...kot-kot yang tauke yang tengah holiday sekarang ni balik awai (awal),” katanya, sinis.

Pendapat senada diluahkan Akbar Ali yang menyarankan agar siasatan turut dibuat ke atas semua kantin asrama dan sekolah di seluruh negara.
“Cuba siasat pemberian tender semua kantin asrama dan sekolah. Akan ada jawapannya,” katanya.
Kenyataan Akbar turut dipersetujui Rosmawati Ayob Muhammad yang menyarankan agar siasatan juga dibuat ke atas ‘orang dalam’ terlibat.
“Siasat sekali siapa kabelnya tu...Kalau boleh dgn kabel-kabel sekali dicampak keluar dari MRSM tu...tak mendatangkan manfaat langsung pada org lain,” katanya, berang.

Sementara itu, Junaidi Shukri pula berkata, kes keracunan membabitkan pelajar di MRSM Taiping bukan perkara baharu.
“Kes keracunan dah pernah berlaku di MRSM yang sama pada tahun 2018. Cuba siasat adakah kontrak tender yang sama? Kalau sama, SPRM perlu bertindak,” katanya.

Kenyataan beliau disokong seorang lagi Ros Maida Haron, dipercayai ahli Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (MUAFAKAT).
“Akhirnya kes ni diambil serious.. Memang puas hati sangat-sangat. Dari tahun lepas lagi geng MUAFAKAT ajukan perkara ni..Kami parents berterima kasih banyak-banyak kat Datuk Dr Asyraf kerana sudi ambil cakna perkara ni,” katanya.
Semalam, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang ‘menerjah’ dewan makan MRSM Taiping berang, selepas tegurannya ke atas kontraktor premis tersebut tidak diperdulikan.
Wanita dikenali sebagai ‘Mira’ itu bukan sekadar ‘menjawab’ teguran Asyraf, bahkan turut berdegil dan enggan mengaku kesilapan dilakukan pihaknya.

Susulan insiden, Asyraf berkata, MARA akan menamatkan kontrak kontraktor terbabit dan mengambil tindakan undang-undang.
Tegasnya, MARA tidak akan berkompromi dengan kontrator berkenaan, yang didapati mengambil ringan soal kebersihan dan melanggar terma-terma kontrak.
Dalam perkembangan berkaitan, semakan Getaran mendapati wanita dimaksudkan ialah isteri kepada penjawat awam berpangkat tinggi, yang memiliki gelaran Datuk.
Beliau kini diberitakan berada di sebuah negeri di Malaysia Timur kerana mengikuti suaminya yang bertugas di sana. - Getaran, 7 September 2024



