Siasatan Kematian Kadet UTM Syamsul Haris Akan Dibuat Jika Perlu - AG

LocalPolitics
6 Sep 2025 • 5:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Syamsul Haris Shamsuddin

KUALA LUMPUR - Inkues kematian kadet Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsuddin, akan diarahkan jika perlu selepas laporan penuh siasatan polis diterima.

Peguam Negara Tan  Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika mengesahkan perkara itu berkata, Jabatan Pendakwaan Awam sedang menunggu penemuan lengkap daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk laporan bedah siasat.

"Bagi kes arwah Syamsul Haris, kita menunggu hasil siasatan polis termasuk laporan bedah siasat. 

“Saya jangka laporan penuh diterima tidak lama lagi dan jika perlu, inkues akan dijalankan seperti kes Zara Qairina Mahathir,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam di bawah Program Kampung Angkat Jabatan Peguam Negara 2025 di Kampung Padang Tembak di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Peperangan Darat Tentera Darat, Ulu Tiram, Johor. 

Jenazahnya dikebumikan sehari kemudian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Peguam keluarga, Datuk Naran Singh sebelum ini memaklumkan, laporan bedah siasat kedua dijangka siap dalam tempoh tiga bulan selepas penggalian semula jenazah yang dipohon ibu arwah pada 19 Ogos, bagi membolehkan siasatan lanjut serta kemungkinan inkues.

Dalam perkembangan lain, Mohd Dusuki berkata kes kematian pelajar tahfiz Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman pada 2013 masih dalam perhatian pihak berkuasa.

“Kami menerima kemas kini berkala daripada polis. Jika ada perkembangan positif, tindakan susulan akan diambil.

“Siasatan mesti berjalan lancar dan segera kerana keadilan perlu ditegakkan untuk semua pihak, termasuk keluarga,” katanya.

Wan Ahmad Faris, pelajar Tingkatan Empat Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, ditemui mati tergantung di tandas asrama pada Disember 2013. 

Walaupun siasatan awal mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut, Mahkamah Koroner pada 2016 memutuskan ia adalah kes bunuh oleh individu tidak dikenali.

Polis kini telah membuka semula siasatan kes itu, seperti disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sesi Parlimen baru-baru ini. - Getaran, 6 September 2025