Siasatan PDRM: Mayu Global dapat balik RM4.3 juta, baki RM6.4 juta masih dibekukan

30/07/2025 - 15:18
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 30 Julai – Mayu Global Group Bhd mendedahkan sebanyak RM4.3 juta yang sebelum ini dibekukan dalam akaun bank milik anak syarikatnya, Sunrise Manner Sdn Bhd, telah dilepaskan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pelepasan dana tersebut dibuat susulan pemakluman rasmi daripada Bukit Aman yang membatalkan arahan pembekuan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
“Akaun yang terbabit dalam pelepasan ini melibatkan beberapa institusi kewangan termasuk RHB Bank, Hong Leong Bank, Malayan Banking (Maybank), Maybank Islamic dan CIMB Bank.
“Selepas pelepasan RM4.3 juta ini, jumlah baki yang masih dibekukan oleh PDRM dalam akaun kumpulan kini berjumlah RM6.4 juta,” kata Mayu Global.
Pada April lalu, pihak berkuasa telah membekukan keseluruhan RM10.67 juta dalam akaun Mayu Global dan beberapa anak syarikatnya sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap seorang pengarah syarikat, Tan Kim Hee, yang mempunyai kaitan rapat dengan skim pelaburan kontroversi MBI Group.
Kim Hee yang juga adik ipar kepada pengasas MBI, Tedy Teow, ditahan pada 2 April bagi membantu siasatan namun dibebaskan lima hari kemudian tanpa sebarang pertuduhan.
Selain pembekuan akaun, dua kenderaan mewah iaitu sebuah Mercedes-Benz GLE 450 Coupe dan sebuah BMW 330Li turut disita daripada syarikat dalam kumpulan tersebut, manakala barisan lembaga pengarah turut menyaksikan beberapa perubahan struktur.
Mayu Global memberi jaminan pihaknya akan terus memantau situasi semasa dengan teliti dan akan membuat pengumuman selanjutnya sekiranya terdapat perkembangan terkini berkaitan siasatan itu. - DagangNews.com
standard
