Siasatan SPRM babit bekas pegawai MARSAH, bukan Mohd Fared

LocalPolitics
23 Jul 2026 • 9:54 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Siasatan SPRM babit bekas pegawai MARSAH, bukan Mohd Fared
Kenyataan rasmi yang dikeluarkan MARSAH pada Rabu.

JOHOR BAHRU –Anak syarikat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), MARSAH Sdn Bhd menafikan dakwaan yang mengaitkan Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kenyataan rasmi, MARSAH berkata, pihaknya mengambil maklum dakwaan dan tohmahan yang dibuat berhubung isu tatakelola, dakwaan kronisme serta siasatan SPRM yang dikaitkan dengan KUIJSI.

Menurut kenyataan itu, MAINJ dan MARSAH telah menerima makluman daripada SPRM bahawa siasatan yang dijalankan adalah terhadap seorang mantan pegawai MARSAH dan bukannya terhadap Mohd Fared selaku Pengerusi Lembaga Pengarah MARSAH.

"Justeru, tiada siasatan SPRM terhadap YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid selaku Pengerusi MARSAH," menurut kenyataan itu.

MARSAH turut menjelaskan KUIJSI ditadbir mengikut Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 serta perlembagaannya yang memperincikan pembahagian fungsi, bidang kuasa dan akauntabiliti setiap entiti termasuk Lembaga Pengarah MARSAH, Lembaga Pengelola, Senat, Jawatankuasa Pemilihan dan Ketua Pegawai Eksekutif.

Menurut kenyataan itu, sebagai pemilik lesen KUIJSI, MARSAH sentiasa memastikan pentadbiran dan operasi universiti mematuhi Akta 555 serta perlembagaan KUIJSI.

"Dakwaan mengenai salah laku terhadap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah MARSAH adalah suatu rekayasa politik yang tersasar jauh daripada fakta sebenar," katanya.

Dalam masa sama, MARSAH memaklumkan pihaknya sedang melaksanakan pelan penyusunan semula struktur tadbir urus KUIJSI sebagai persediaan memperkukuhkan institusi itu ke arah menjadi sebuah universiti.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan setiap entiti dan jawatankuasa berfungsi selaras dengan kehendak undang-undang serta amalan tadbir urus korporat terbaik, di samping menutup ruang kepada sebarang bentuk salah laku.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved