#SiBibirMerah: Setia lelaki teruji bila miliki segala. Orang ketiga jangan bina bahagia atas derita wanita lain

16 Sep 2022 • 9:05 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

KESETIAAN lelaki teruji apabila memiliki segalanya, ungkapan tersebut sering didengari apabila lelaki bergelar suami meninggalkan isteri yang sudah berkongsi susah payah sejak awal perkahwinan.

Ketika berada di puncak dan memiliki segala, lelaki meninggalkan isteri selepas bertemu orang ketiga dengan pelbagai dakwaan dan alasan. Bibir Merah sungguh bersimpati, sayang melihat ikatan perkahwinan yang dibina terlerai. Bukan setahun dua usianya, ada yang mencecah puluhan tahun.

Semua ini bukan babak-babak drama pada kaca televisyen, hakikatnya ia senario benar- benar berlaku dalam masyarakat kita sejak dahulu lagi.

image is not available

 

Barangkali ledakan teknologi dan media sosial masa kini menyebabkan ia mudah dikongsi hingga menjadi perdebatan oleh warga maya. Tambahan pula jika berlaku dalam kalangan orang ternama.

Ramai yang mengetahui wanita diuji ketika suami tidak memiliki apa-apa dan bukan ‘siapa-siapa’. Pada awal perkahwinan masing-masing menerima kekurangan dan berusaha saling melengkapi, berkongsi keperitan mengukuhkan ekonomi dan keluarga. Isteri merelakan segalanya, berkorban wang ringgit, harta mahupun tenaga.

Di belakang lelaki yang hebat, ada wanita yang berdiri teguh. Apabila suami berada di puncak, merekalah juga yang menjadi tulang belakang, memberi bantuan, sokongan dan semangat.

image is not available
ISTERI dan anak merupakan amanah suami yang perlu dijaga dengan sebaiknya. Jangan sesekali sia-siakan tanggungjawab yang diberikan.

Namun selepas berjaya membina kehidupan yang kukuh, wujud segelintir lelaki yang mula mencari alasan dan liar. Dikatanya si isteri tidak lagi manja walaupun hakikatnya wanita itulah dahulu yang sanggup berkongsi memikul beban bersama, bersabung nyawa melahirkan zuriat dan membanting tulang membantu.

Bibir Merah mengira, jika masalah isteri tidak manja, mencari orang ketiga bukan penyelesaiannya. Perihal isteri tidak manja perlu diselesaikan secara berdua, tegur dan sama-sama perbaiki diri.

Percayalah, sifat manja seorang isteri datangnya daripada layanan suami. Hargai dan manjakanlah, tampung kekurangan dirinya dan bukan mencari ‘manja’ yang lain.

image is not available
Gambar hiasan

Buat orang ketiga, Bibir Merah ingin berpesan.tiada istilah menumpang kasih apabila diri diuji dengan kehadiran lelaki berstatus suami orang. Elakkan sama sekali, hormati kedudukan isterinya dan sila angkat kaki.

Bibir Merah berpendapat kita sesama wanita tidak perlu saling menyakiti sesama sendiri. Memang benar jodoh itu ketentuan ALLAH tetapi fikir-fikirkanlah. Sanggupkah membina mahligai di atas derita dan air mata orang lain?

Perkongsian Bibir Merah ini umum, tidak berniat ditujukan kepada sesiapa. Sekadar peringatan kerana mungkin ada yang sudah lupa. Semoga semua yang bergelar suami dan isteri bahagia selama-lamanya.

Si Bibir Merah: Wahai lelaki, jika sudah bercerai tunggulah hingga selesai iddah untuk bernikah lagi. Kebajikan anak jangan dilupakan. Buat wanita, jika diceraikan, tuntut segala hak kalian dan teruskan melangkah.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan