

SHAH ALAM, 24 JUL: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 yang berlangsung Oktober depan tampil lebih segar dengan menonjolkan kekuatan budaya dan ekonomi rantau Asean.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata penganjuran edisi kali ini diyakini mampu mengukuhkan peranan Selangor sebagai hab dagang dan pelaburan serantau yang progresif.
“SIBS ialah aspirasi Selangor menjadi sebuah hab pelaburan dan inovasi yang inklusif, dinamik serta bersifat serantau selari dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun ini,” katanya kepada Media Selangor.

Berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, SIBS 2025 menawarkan lebih 700 reruai yang menghimpunkan pemain industri dari dalam dan luar negara.
Setakat ini, lebih 300 reruai disahkan disertai delegasi antarabangsa termasuk dari Kenya, Uganda, Thailand, Korea Selatan dan Brunei, selain agensi tempatan serta wakil negeri lain.
“Persiapan kini mencapai 50 peratus, merangkumi promosi di seluruh Asia Tenggara, susun atur reruai dan pelaksanaan program padanan perniagaan rentas sempadan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penganjur sedang merangka pelbagai forum dan sesi pemadanan strategik bagi membuka ruang kerjasama lebih luas antara pelabur serta usahawan.

Pada Februari lalu, Sze Han memaklumkan SIBS tahun ini memperkenalkan dua acara baharu iaitu Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor dan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS), yang sebelum ini dikenali sebagai Pameran Udara Selangor.
Dengan sasaran nilai transaksi mencecah RM10 bilion serta jangkaan kehadiran 50,000 pengunjung, SIBS diyakini terus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pintu masuk ekonomi Malaysia ke peringkat antarabangsa.
SIBS 2024 yang dianjurkan dalam dua siri pada Julai dan Oktober lalu merekodkan nilai transaksi berjumlah RM13.86 bilion, meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM6.12 bilion pada 2023.

The post SIBS 2025 tonjol kekuatan Asean, pacu Selangor jadi hab dagang serantau appeared first on Selangorkini.




