
SHAH ALAM, 27 OKT: Kanak-kanak seawal usia enam tahun diberi peluang mengasah bakat kepimpinan dan memahami sistem demokrasi menerusi Sidang Cilik Selangor 2026 yang julung kali dianjurkan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata program itu membuka ruang kepada kanak-kanak untuk menyuarakan pandangan selain mengenali aspek kepimpinan sejak usia awal.
“Kanak-kanak perlu diberikan ruang untuk bersuara supaya mereka berupaya mengetengahkan pandangan dengan yakin.
“Bimbingan berterusan juga penting bagi melahirkan generasi berilmu, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara,” katanya.
Berteraskan slogan ‘Suara Kecil, Impak Besar’, program berkenaan menghimpunkan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah berusia enam hingga 14 tahun dari seluruh Selangor yang dipilih melalui proses temu duga.
Menurut Danial, peserta terpilih menjalani latihan intensif selama tiga bulan bersama mentor bagi mendalami kemahiran perbahasan, pentadbiran, undang-undang dan khidmat masyarakat.
Hasil latihan itu dipamerkan pada persidangan akhir yang berlangsung pada 24 Oktober lalu di Dewan Renantanda, Tingkat 3, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Persidangan berkenaan menyaksikan peserta yang digelar ‘Yang Berkhidmat’ mengetengahkan kemahiran berhujah yang dipelajari sepanjang tempoh latihan.
Sementara itu, Setiausaha Program, Siti Suhaili Sulaiman berkata inisiatif tersebut bertujuan membina keyakinan kanak-kanak untuk berfikir, berhujah dan mendengar pandangan orang lain secara berhemah, selain memberikan pengalaman bersidang.
“Pencapaian pada persidangan akhir memperlihatkan potensi anak-anak apabila diberikan latihan, kepercayaan dan ruang penyertaan yang bermakna,” katanya.





