Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 14 NOV: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) bermula esok dijangka lebih padat, berikutan ia bersekali dengan pembentangan belanjawan 2025.
Speaker Lau Weng San berkata sidang yang dijadual berlangsung selama dua minggu turut menghimpunkan 854 soalan lisan dan bertulis daripada Ahli Dewan Negeri (ADN).
“Sidang dewan ini merupakan sidang yang sangat penting kerana semua tahu dewan bersidang sebanyak tiga kali setahun, yang terakhir adalah sidang dewan belanjawan ini.
“Saya difahamkan akan ada juga pembentangan perbekalan tambahan, secara tidak langsung menunjukkan sidang dewan kali ini sangat padat,” katanya dalam program Apa Cer YB di TikTok, baru-baru ini.

Belanjawan negeri tahun depan bakal menumpukan beberapa teras seperti kecerdasan buatan (AI) dan pendidikan, infrastruktur dan alam sekitar, kebajikan, tadbir urus dan ekonomi kreatif.
Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung pembentangan Belanjawan Selangor 2025 oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di semua platform Media Selangor esok.
Berlangsung di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor (DNS) bermula jam 3 petang, laporan berita boleh diikuti melalui portal selangorkini.my, Selangor Journal, Selangorkini Mandarin dan Selangorkini Tamil.
Siaran langsung pula boleh ditonton menerusi pautan https://selangortv.my/ dan media sosial seperti Facebook MediaSelangor, Instagram, X, Telegram, TikTok selain platform MYTV.
The post Sidang dewan dijangka padat, berlangsung dua minggu mulai esok appeared first on Selangorkini.



