
SHAH ALAM, 29 JUN: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual membuka tirainya pada 7 Julai memberi tumpuan kepada beberapa isu utama termasuk insiden letupan saluran gas milik Petronas di Putra Heights, Subang pada 1 April lalu.
Speaker DNS Lau Weng San berkata isu lain yang dijangka bakal dibangkitkan wakil rakyat termasuklah pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), kejadian banjir serta inisiatif pelaburan yang memberi dampak besar kepada ekonomi.

“Antara yang akan menjadi fokus termasuk taman reka bentuk litar bersepadu (IC), industri semikonduktor dan aspek kebajikan rakyat yang turut mendapat perhatian beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN),” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut mengingatkan semua ADN supaya hadir serta aktif mengambil bahagian dalam perbahasan termasuk mengemukakan soalan tambahan terhadap isu yang diketengahkan.
Sidang kali ini akan berlangsung selama dua minggu di Bangunan Annex, Shah Alam dengan sesi pertama dari 7 hingga 11 Julai, diikuti minggu kedua bermula 14 hingga 18 Julai.
Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung sidang menerusi laman sesawang selangortv.my serta semua platform media sosial rasmi Media Selangor termasuk Facebook, Instagram, X, TikTok dan Telegram serta saluran MYTV.
The post Sidang DNS buka tirai 7 Julai, letupan Putra Heights dan KSSA antara tumpuan appeared first on Selangorkini.

