Sidang DUN Kelantan : 493 rakyat Kelantan mohon lesen dulang emas

LocalBusiness & Finance
23 Apr 2026 • 10:54 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sidang DUN Kelantan : 493 rakyat Kelantan mohon lesen dulang emas
Aktiviti mendulang dilakukan penduduk di kawasan sungai di Jeli. Gambar kecil: Mohamed Fadzli
Image from: Sidang DUN Kelantan : 493 rakyat Kelantan mohon lesen dulang emas
Seorang pendulang sedang memerhatikan emas yang didulang menggunakan dulang kayu merbau. Foto pembaca

KOTA BHARU – Sebanyak 493 permohonan Lesen Mendulang Emas Kecil diterima kerajaan negeri sejak ia dibuka pada Januari tahun ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, daripada jumlah tersebut, 333 permohonan diluluskan selepas melalui proses penilaian mengikut syarat dan garis panduan ditetapkan.

“Selebihnya masih dalam proses dan dinilai secara teliti sebelum sebarang kelulusan diberikan bagi memastikan pematuhan kepada peraturan serta aspek keselamatan.

“Setakat ini juga, sebanyak 54 lesen diambil oleh pemohon yang berjaya,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.

**media[3499578]**

Beliau menjawab soalan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (Barisan Nasional-Galas).

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, pelaksanaan lesen mendulang emas kecil itu memberi peluang kepada rakyat menjana pendapatan secara sah tanpa memerlukan modal besar seperti operasi perlombongan berskala besar.

Katanya,kelulusan lesen dan aktiviti mendulang emas juga tertakluk di bawah Enakmen Mineral bagi menjaga sungai, tebing dan ekosistem daripada terjejas.

“Melalui syarat dan lesen ini, kerahaan negeri bukan sesekali hendak berniaga dengan rakyat, namun bagi memastikan aktiviti ini dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Selain mengutamakan keselamatan pendulang serta tidak menjejaskan alam sekitar, tebing sungai dan ekosistem,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pihak kerajaan belum dapat memastikan tahap keaktifan semua pemegang lesen memandangkan kebanyakan mereka menjalankan aktiviti tersebut secara sambilan.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri memberi kebenaran kepada dua syarikat untuk membeli emas daripada pendulang bagi memastikan urus niaga berjalan secara teratur dan tidak berlaku eksploitasi.

“Setakat ini, kerajaan negeri juga belum menerima data lengkap berhubung jumlah pendapatan atau hasil yang diperoleh pendulang,” katanya.

View Original Article