Sidang DUN: Mohon RM850 juta atasi hakisan pantai, kawalan, pulihara muara sungai

LocalEnvironment
13 May 2026 • 12:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sidang DUN: Mohon RM850 juta atasi hakisan pantai, kawalan, pulihara muara sungai
Cherating, Teluk Chempedak antara 10 pantai diancam hakisan teruk di Pahang (Gambar fail Awani). Gambar kecil: Razali

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengemukakan permohonan RM850 juta untuk kerja-kerja pengawalan, pemuliharaan muara dan hakisan pantai di negeri ini dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, antara cadangan kerja tersebut ialah projek pemuliharaan pantai Kampung Kuala Pontian dan pengawalan hakisan pantai di Pulau Tioman, Rompin.

Selain itu katanya, projek pengawalan hakisan pantai di Pantai Cherating, projek pemuliharaan muara Sungai Balok, projek pemuliharaan muara Sungai Ular, projek pemuliharaan muara Sungai Kuantan di Kuantan dan projek pemuliharaan muara Sungai Bebar, Pekan.

Menurutnya, projek-projek itu bukti kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu hakisan pantai yang agak ketara di negeri ini.

"Kerajaan Persekutuan melalui JPS dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) juga giat menjalankan kajian bagi mengatasi masalah hakisan pantai di seluruh negara termasuk Pahang.

"Ia kerana kejadian hakisan pantai semakin kritikal berlaku di seluruh negara di mana dalam Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara 2 (RFZPPN 2) dinyatakan terdapat enam negeri mempunyai lebih daripada 10 peratus pantai yang terhakis di mana panjang hakisan pantai di Pahang sahaja lebih 61 kilometer atau 16.33 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung usaha kerajaan negeri menangani isu hakisan pantai dikemukan Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Dalam jawapan itu, Razali berkata, JPS juga telah melaksanakan kajian perancangan jangka panjang dalam mengatasi masalah hakisan bagi mengenalpasti isu-isu dan kaedah penyelesaian contohnya Pelan Pengurusan Garis Pantai Bersepadu (ISMP).

"Kajian ISMP Pahang telah siap tahun lalu mengambilkira isu berkaitan masalah hakisan, muara dan juga guna tanah sepanjang pesisiran pantai.

"Antara punca berlakunya hakisan pantai termasuk aktiviti pembangunan, perlombongan pasir, pembuangan beting pasir dan lumpur secara semulajadi, pemusnahan ekologi (paya bakau) dan pertembungan ombak besar dan air pasang tinggi," katanya.

Tambah beliau, antara projek hakisan pantai dan pengorekan muara yang telah diluluskan dan telah siap di Pahang ialah kerja mencegah hakisan pantai di Pantai Sepat, Kuantan.

Selain itu katanya, projek pengawalan hakisan pantai di Pantai Tanjung Pahang, Rompin dan projek pengawalan hakisan pantai di Pantai Kampung Mukut, Pulau Tioman, Rompin.

"Kerja mencegah hakisan Pantai Nenasi, Pekan; kerja mencegah hakisan pantai di Pantai di Kompleks Rakan Muda Sukan Air, Rompin dan projek pengawalan hakisan pantai di Kg Tanjung Batu, Nenasi, Pekan.

"Projek dalam pelaksanaan pula projek pemuliharaan muara Sungai Pahang (Fasa 3) Daerah Pekan; projek membina outfall di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan; projek pengawalan hakisan Pantai Saujana Biru, Pekan dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Balok, Kuantan," ujarnya.

View Original Article