Sidang DUN Negeri Sembilan ditangguh, tarikh baharu akan dimaklumkan - Speaker DUN

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 1:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sidang DUN Negeri Sembilan ditangguh, tarikh baharu akan dimaklumkan - Speaker DUN
MK Ibrahim
Image from: Sidang DUN Negeri Sembilan ditangguh, tarikh baharu akan dimaklumkan - Speaker DUN
Tuanku Muhriz (tengah) bersama barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan selepas majlis Istiadat Pembukaan Persidangan DUN Negeri Sembilan pada Khamis.

SEREMBAN - Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kemudian.

Yang Dipertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman bagaimanapun tidak memberitahu faktor penangguhan tersebut, namun berharap kemelut di Negeri Sembilan yang berlaku ketika ini dapat dijernihkan sebelum persidangan akan datang.

"Atas pertimbangan saya sebagai Yang Dipertua Dewan, untuk melincinkan DUN dan keadaan Negeri Sembilan ini, saya tangguhkan persidangan kali ini dan saya berharap sebelum bersidang akan datang apa yang berlaku akan dapat dijernihkan.

"Kerajaan negeri akan mendapat perkenan Tuanku satu tarikh yang akan diberitahu kelak," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan DUN Negeri Sembilan pada Khamis.

**media[3499756]**

Selain itu, beliau turut memaklumkan ketidakhadiran Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin pada majlis Istiadat Pembukaan DUN tersebut tidak memberi kesan terhadap perjalanan majlis rasmi berkenaan.

Jelasnya, persidangan itu boleh berjalan seperti biasa dan kehadiran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hanya untuk merasmikan majlis serta menyampaikan titah baginda.

"Jadi ia cukup syarat. Kalau tidak cukup syarat ia tidak boleh ditangguh. Ia jalan seperti biasa dengan kehadiran Tuanku yang merasmikan dan menyampaikan titah," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai ketidakhadiran Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin memaklumkan tidak akan hadir dalam Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan DUN itu.

Perkara berkenaan dimaklumkan dalam kenyataan media bersama dikeluarkan oleh Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak (Sungei Ujong), Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad (Jelebu), Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah (Johol), Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin (Rembau) dan Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri (Tunku Besar Tampin) pada tengah malam Rabu.

Mereka turut menasihatkan agar istiadat tersebut ditangguhkan sementara sehingga selesai segala proses adat dan undang-undang berhubung peralihan tampuk pemerintahan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Keputusan terbabit dibuat susulan pengisytiharan pemecatan Tuanku Muhriz oleh mereka pada 19 April lalu serta melihat kepada situasi mutakhir ini.