KANGAR – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 April ini ditangguhkan ke suatu tarikh baharu tanpa alasan terperinci sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan wakil rakyat.
Perkara itu dimaklumkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis menerusi surat rasmi bertarikh 17 April 2026 yang memaklumkan penangguhan Majlis Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Keempat dan Mesyuarat Pertama DUN Perlis ke-15.
“Majlis Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Keempat dan Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri Perlis ke-15 yang dijadualkan pada 21 hingga 23 April 2026 ditangguhkan ke suatu tarikh baharu yang akan ditetapkan kelak,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, penangguhan tersebut mencetuskan reaksi daripada enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang menuntut penjelasan rasmi daripada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berhubung keputusan itu.
Bekas Menteri Besar yang juga ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli berkata, notis asal persidangan tersebut telah diterima pada 9 April lalu, namun pembatalan hanya diketahui melalui surat yang tular sebelum notis rasmi diterima sehari kemudian.
Jelasnya, penangguhan berkenaan dilihat sebagai luar biasa kerana dibuat tanpa sebarang hal kecemasan seperti bencana alam, kematian individu terdekat atau pun penularan wabak.
“Sidang kali ini penting kerana terdapat banyak isu tertunggak yang memerlukan penjelasan kerajaan negeri termasuk berkaitan pelaburan, pengurusan pemberian geran tanah Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan kelulusan penubuhan pihak berkuasa tempatan (PBT) Padang Besar,” katanya pada Sabtu.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan kepada beberapa perkara termasuk pertukaran beberapa ketua jabatan secara serentak tanpa pengganti kerana didakwa boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran serta keyakinan pelabur.
Mewakili enam ADUN Pas, Mohd Shukri berkata, mereka turut terkilan kerana tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan berkaitan penangguhan sidang tersebut.
“Kami merupakan sebahagian daripada kekuatan kerajaan negeri. Sepatutnya perkara ini dibincangkan bersama,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya menuntut Abu Bakar untuk memberikan penjelasan rasmi dalam tempoh seminggu bagi meredakan persepsi negatif serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri.
Namun dalam perkembangan sama, pihaknya menegaskan hubungan antara Pas dan Bersatu di Perlis kekal utuh di bawah payung Perikatan Nasional (PN) meskipun timbul isu berkenaan.
Sidang DUN Perlis yang sepatutnya berlangsung pada minggu hadapan adalah kali pertama buat Abu Bakar sebagai Menteri Besar selepas Mohd Shukri melepaskan jawatan sejak krisis PN Perlis pada Disember lalu.
