
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis menahan Pengarah Urusan Syarikat Umrah Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd, Mohd Syahril Alias pada Rabu susulan didakwa gagal menerbangkan lebih 300 jemaah umrah ke Tanah Suci.
Difahamkan Mohd Syahril ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, JSJK Selangor pada jam 6.45 petang di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO)
Ketika ditahan, Mohd Syahril baru selesai mengadakan sidang media dan perjumpaan bersama jemaah umrah terlibat.
**media[2969042]**
Difahamkan penahanan ini susulan laporan polis dibuat oleh jemaah yang menuntut penjelasan terhadap kegagalan penerbangan berkenaan.
Dalam pada itu sidang media yang bermula tenang bertukar kecoh dan tegang apabila ada jemaah yang tidak bersetuju dengan tawaran dikemukakan pihak syarikat.
Sebelum ini, kira-kira lebih 300 jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke Tanah Suci namun ditunda syarikat pengendali umrah itu.
**media[2969041]**
Salah seorang jemaah yang ingin dikenali sebagai Ida mendakwa hanya diberitahu penangguhan tersebut pada petang Ahad.
Menurutnya, alasan yang diberikan oleh pihak syarikat adalah hotel penginapan telah dibatalkan oleh pihak Arab Saudi.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan pasangan berusia 31 tahun itu dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kira-kira jam 7 petang.
"Polis telah merampas beberapa komputer, pasport dan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.
"Kedua-dua mereka akan direman esok untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
