SHAH ALAM, 15 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 siri kedua bagi tahun ini bakal membuka tirai esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Persidangan selama empat hari hingga 19 Oktober meliputi Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) atau SIE F&B, Konvensyen Sains Hayat Selangor (SLC) serta Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC).
SIE F&B antaranya akan mengetengahkan pempamer utama iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang dijangka membawa pengisian dalam forum sehari berkaitan topik keterjaminan makanan.

Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) turut menjadi acara dalam ekspo itu sebagai medan kepada syarikat tempatan dan antarabangsa meneroka pasaran halal di rantau ini.
SDEC pula dijangka memperkenal sesi menumpukan inisiatif terbaharu negeri iaitu taman reka bentuk litar bersepadu (IC) dan Pemacu Semikonduktor Malaysia.
Acara penting lain adalah tiga forum utama ketika subkonvensyen SLC termasuk forum Kelestarian Masa Depan Selangor-Korea yang membincangkan teknologi biotani dan bidang lain yang berkaitan.

Sebelum ini, EXCO Pelaburan Ng Sze Han menyasar SIBS siri kedua mencatat nilai transaksi hampir RM1 bilion. SIBS siri pertama pada Julai lalu meraih RM12.2 bilion.
Membabitkan Ekspo Taman Perindustrian Selangor dan Persidangan Perniagaan Asean Selangor, kejayaan luar biasa itu turut menarik lebih 8,500 pelawat ke persidangan.
Negara yang mengambil bahagian termasuk negara-negara jiran Asean, China, Jepun, Australia, Kanada, Perancis, Jerman dan United Kingdom.
Sepanjang SIBS siri pertama berlangsung, 23 surat setuju terima, surat hasrat, memorandum perjanjian dan memorandum persefahaman dimeterai.
The post Sidang niaga Selangor siri kedua bermula esok, tumpu pasaran halal appeared first on Selangorkini.
