
Sifat Murni Penunggang Motosikal Pulangkan Duit RM13,000 Kepada Pemilik Dipuji
Seorang penunggang motosikal teksi yang berjiwa murni berusaha mengejar pemilik yang keciciran wang selepas menjumpai wang tunai kira-kira RM13,000 di atas jalan raya di wilayah Nonthaburi dekat Bangkok.
Memetik laporan The Thaiger, disebabkan perbuatan baik itu, gabenor wilayah kini dalam persiapan menyediakan ganjaran sebagai balasan kepada penunggang motosikal itu.
Akkadate Toey Jittayasothorn menceritakan perkara tersebut kepada pemberita mengenai kejadian yang berlaku pada tengah hari Khamis, 27 April lalu.
Pada hari kejadian, lelaki berusia 48 tahun itu berkata dia dan tiga rakannya yang lain sedang duduk di tempat khas untuk penunggang motosikal teksi.
Tempat itu berhadapan dengan Pejabat Loteri Kerajaan dan secara tiba-tiba di ternampak akan timbunan wang yang jatuh dari sampul surat berwarna coklat.
Sampul itu dibawa oleh seorang wanita yang berkemungkinan tidak perasan bahawa duitnya telah tercicir dari poket seluarnya.
Wanita itu dilihat menaiki teksi motosikal selepas keluar daripada pejabat tersebut dan kemudian pacuan dua roda itu bergerak dari tempat itu.
Kejar penungang motosikal
Toey yang melihat kejadian itu bergegas mengambil wang itu dan menjerit dengan sekuat hati supaya teksi motosikal itu menghentikan motornya.
Penunggang itu mendengar teriakan Toey dan secara tidak langsung berhenti tidak jauh dari tempat wang itu ditemui.
Selepas itu, Toey menghulurkan wang kepada wanita itu sebelum dia menerima semula dengan tangan yang terketar-ketar.
Insiden itu membuatkan wanita tersebut terkejut kerana dia tidak menyangka bahawa wangnya telah tercicir dan dalam waktu yang singkat dia telah menemukan semula disebabkan kejujuran Toey.
Untuk menyatakan rasa terima kasih, wanita tersebut memberi Toey dan rakan-rakannya sejumlah wang kira-kira RM13 setiap seorang.
Pada mulanya, Toey menolak untuk menerima wang tersebut namun rakannya mendesak supaya dia akur.
Toey berkata dia tidak tahu jumlah wang sebenar tetapi anggaran jumlahnya mencecah RM13,000.
Ketika ditanya mengenai keputusan untuk memulangkan wang itu, Toey menjelaskan dia tidak berniat untuk mencuri wang itu kerana menganggap ia adalah barangan penting buat wanita tersebut.
“Saya tidak kaya tetapi saya tidak mempunyai kehidupan yang sukar. Dia mungkin telah mengeluarkan wang dari bank untuk beberapa perkara penting.
“Jika dia kehilangannya dia mungkin menghadapi masalah,” ujar Toey.
Kejujuran dan integriti Toey menarik perhatian Gabenor Wilayah Nonthaburi, Sutee Thongyaem dan difahamkan juga, ganjaran akan diberikan kepadanya atas sifat baiknya.
Sumber: The Thaiger
The post Sifat Murni Penunggang Motosikal Pulangkan Duit RM13,000 Kepada Pemilik Dipuji appeared first on Siakap Keli.


