SIG, WWF Switzerland lancarkan projek pemulihan Hutan Ulu Muda di Kedah
syaza
04/09/2024 - 16:18
KUALA LUMPUR 4 Sept - Special Interest Group (SIG) jalin kerjasama dengan WWF Switzerland melancarkan projek pemulihan landskap hutan di Hutan Ulu Muda, Kedah.
Kompleks Hutan Ulu Muda merupakan rumah kepada sejumlah besar tumbuhan dan haiwan, termasuk populasi besar spesis gajah Asia yang terancam.
Menurut SIG, projek bersama yang kedua itu bertujuan untuk menambah baik pengurusan lebih 170,000 hektar dan perintis pemulihan 25 hektar.
Projek itu juga akan mengukuhkan daya tahan landskap hutan yang menyediakan perkhidmatan ekosistem penting wilayah utara Semenanjung Malaysia.
Presiden Asia-Pasifik di SIG, Angela Lu berkata, selain daripada penambahbaikan dalam pengurusan hutan, projek itu akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menyokong projek pemulihan hutan.
Di samping itu, Pengarah Bersekutu, Semenanjung Malaysia & Pasaran Mampan WWF-Malaysia, Jason Ho berkata, WWF-Malaysia mengalu-alukan pelaburan yang lebih besar dan tindakan kolektif yang berterusan untuk pemuliharaan landskap ini.
"Pelaburan dalam projek pemuliharaan seperti ini boleh membantu meningkatkan daya tahan iklim dan pengurusan hutan, meningkatkan keselamatan air dan makanan serta mengukuhkan inisiatif pemerkasaan komuniti," ujar beliau.
Peneraju Global Forests Forward, Tim Cronin menegaskan tindakan sektor swasta yang kukuh adalah penting untuk menghentikan pembalakan hutan serta mengambil langkah penting untuk memulihara hutan.
"Hutan merupakan sumber semula jadi dalam menyokong komuniti dan ekonomi kita.
"Kepimpinan yang ditunjukkan oleh SIG dalam menyokong kerja kami di Ulu Muda menunjukkan hubungan antara sumber hutan dan perniagaan," ulasnya.
SIG berkata, syarikat bergantung pada sumber hutan untuk gentian kayu yang digunakan untuk menghasilkan papan pembungkus cecair untuk kartonnya.
"Ia memastikan pengurusan mampan hutan yang diperolehinya dengan membeli 100% papan kertas untuk kartonnya dengan pensijilan Forest Stewardship Council (FSC).
"Melalui perkongsian dengan WWF Switzerland dan Forests Forward, kami berusaha untuk menyokong projek yang meningkatkan kemampanan, biodiversiti dan daya tahan hutan," ujar SIG.- DagangNews.com


