
PETALING JAYA: Pensijilan halal yang diterima pada tahun ini menjadi pemangkin kepada jenama Dodol Puan keluaran Hazura Naning Enterprise mengembangkan pasaran ke rangkaian peruncitan moden termasuk pasar raya, stesen minyak, kiosk dan kedai serbaneka di seluruh negara.
Pengurusnya, Noorbaizura Abdul Wahid berkata, selepas menunggu hampir 10 tahun untuk memperoleh pensijilan itu, syarikat kini lebih yakin untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperkukuh jualan dalam talian serta meneroka pasaran yang lebih luas.
“Pensijilan halal bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk, malah membuka peluang kepada syarikat untuk menembusi saluran pengedaran yang lebih besar serta memperkukuhkan kedudukan jenama di pasaran.
“Dalam jangka panjang, kami berharap Dodol Puan menjadi antara produk warisan Melaka yang dikenali di seluruh Malaysia sebelum menembusi pasaran antarabangsa sebagai produk halal yang berkualiti tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, keinginan mendapatkan pensijilan halal timbul bagi memastikan pelanggan yakin setiap produk yang dihasilkan mematuhi piawaian halal yang diiktiraf dari segi kebersihan, keselamatan, kualiti dan pematuhan syariah.
Katanya, bengkel pemprosesan dodol yang beroperasi di bangunan Bengkel MARA Sri Kendong, Rembau turut menerima galakan menyertai program pensijilan.
“Ia melalui geran pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Bagaimanapun, proses mendapatkan pensijilan halal ini bukanlah mudah kerana memerlukan pematuhan terhadap dokumentasi, rekod operasi, kebersihan premis, pemilihan bahan mentah, pengendalian makanan dan prosedur kerja yang lebih sistematik.
“Pada awalnya ia agak mencabar kerana banyak perkara baharu yang perlu dipelajari dan disediakan. Namun, bimbingan daripada MARA Negeri Sembilan khususnya MARA Daerah Rembau serta agensi berkaitan banyak membantu sepanjang proses pensijilan.
“Bagi saya, cabaran itu merupakan satu pelaburan jangka panjang kerana pensijilan halal bukan sekadar memenuhi syarat pasaran, malah meningkatkan kredibiliti, kepercayaan pelanggan dan daya saing perniagaan,” katanya.
Mengimbas permulaan perniagaan, Noorbaizura berkata, beliau memulakan perusahaan secara kecil-kecilan dengan berniaga di tepi jalan menggunakan modal hanya RM100 bagi menghasilkan dodol cair dan dodol kental berasaskan resipi tradisional.
“Sepanjang mengusahakan perniagaan, saya berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan modal, pemasaran dan membina keyakinan pelanggan, namun bantuan daripada RISDA Melaka, MARA Negeri Sembilan, FAMA Melaka, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan dan INSKEN Cyberjaya membantu mengembangkan perniagaan.
“Kini, Hazura Naning Enterprise merekodkan pendapatan bulanan sekitar RM40,000 hingga RM50,000,” jelasnya.
Ujarnya, usahawan makanan dan minuman tidak seharusnya melihat pensijilan halal sebagai satu beban, sebaliknya sebagai pelaburan jangka panjang yang mampu meningkatkan nilai produk. – UTUSAN
The post Sijil halal lonjak rangkaian runcit Dodol Puan appeared first on Utusan Malaysia.

