Sijil halal: Penjaja sambut baik namun bimbang berdepan proses permohonan yang rumit

LocalPolitics
11 Sep 2024 • 8:01 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

SHAH ALAM – Cadangan mewajibkan sijil halal di kedai makan adalah sesuatu yang bagus namun pada masa sama golongan penjaja dan peniaga kecil mengakui proses yang rumit untuk memohon sijil berkenaan menyukarkan mereka.

Ketika ditemui Scoop, seorang pengusaha gerai rojak dan mi goreng, Siti Rohani Sulaiman, 37, berkata, proses untuk membuat permohonan itu juga menuntut masa yang panjang.

Namun, kata Siti Rohani jika cadangan itu dilaksanakan, dia tiada pilihan dan terpaksa memohon sijil halal.

image is not available
Siti Rohani Sulaiman berkata dia akur jika diminta memohon sijil halal namun bimbang dengan proses permohonan yang rumit dan masa yang panjang. - Gambar Juliana Johar, 11 September, 2024

“Bagai saya sebagai penjaja kecil, tak perlu sebab kita hanya peniaga kecil. Saya dengar proses mendapatkan sijil halal pun agak rumit. Macam restoran besar, mereka mempunyai ramai pekerja.

“Tetapi kalau kami yang nak memohon, sudah pasti kami kena tutup kedai untuk menguruskan permohonan tersebut dan itu sedikit sebanyak menganggu aktiviti perniagaan harian kami,’’ katanya ketika ditemui di gerainya di Denai Alam, di sini.

Siti Rohani menjalankan perniagaan itu bersama suaminya.

Isu mengenai sijil halal hangat diperkatakan selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Menurut Teresa, langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar bahawa kerajaan bersedia memberi pertimbangan untuk mewajibkan pengendali makanan dan restoran mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

image is not available
Rojiatun Syaidah Aziz berkata adalah memadai jika dia dan pekerjanya dibekalkan dengan suntikan typhoid kerana sebagai seorang Muslim sudah pasti bahan-bahan yang diperolehi adalah daripada sumber halal. - Gambar Juliana Johar, 11 September, 2024

Sementara seorang lagi peniaga, Rojiatun Syaidah Aziz, 35, yang merupakan pemilik kedai makan Ayam Penyet Cabe Hijo di Medan Selera MBSA di Seksyen 11, di sini berkata permohonan sijil halal memberi kebaikan kepada sesebuah perniagaan bagi meyakinkan pelanggan untuk menjamu selera tanpa was-was.

Namun pada masa sama, Rojiatun beranggapan adalah memadai dia dan pekerjanya dibekalkan dengan suntikan typhoid kerana sebagai seorang Muslim sudah pasti bahan-bahan yang diperolehi adalah daripada sumber halal.

“Sijil halal ini ada kebaikannya untuk menyakinkan pelanggan yang kedai itu memang betul halalan toyyiban (mengambil bahan daripada pengeluar halal).

"Sebagai orang Muslim, sudah pasti saya mendapatkan bahan-bahan daripada pembekal yang ada sijil halal, kita memang menjaga bab-bab ini.

"Bagaimanapun jika kerajaan mewajibkan untuk semua peniaga makanan memohon sijil halal, kita akan ikut dan patuh pada peraturan tersebut," katanya.

image is not available
Abdul Hadi Abdullah berkata seharusnya pelaksanaan sijil halal diwajibkan mengikut kategori perniagaan makanan terutama berasaskan ayam dan daging. - Gambar Juliana Johar, 11 September, 2024

Sementara itu, peniaga apam balik di Seksyen 7, Shah Alam, Abdul Hadi Abdullah, 29, pula menyifatkan tidak semua peniaga makanan tertakluk kepada peraturan tersebut sekiranya ia dilaksanakan nanti.

Sebaliknya, Abdul Hadi berkata ia seharusnya diwajibkan kepada peniaga-peniaga dalam kategori makanan tertentu seperti masakan menu berasaskan ayam dan daging sahaja.

"Kalau ikutkan saya cuma berniaga 'apam balik' dan bahan-bahannya dah sah-sah diperakui halal seperti tepung gandum dan jagung dalam tin.

"Semua produk-produk yang saya beli itu memang dah ada logo halal. Jadi, bagi saya kalau hendak diwajibkan kepada semua peniaga, mungkin perlu diperhalusi lagi mengikut kategori perniagaan makanan yang diusahakan masing-masing," katanya. - 11 September, 2024