
Siapa sangka di sebalik akuarium yang dipenuhi ikan berwarna-warni, tersimpan sebuah ruang pembelajaran yang sedang mengubah kehidupan golongan remaja orang kurang upaya (OKU).
Di Kolej Komuniti (KK) Tampin, Negeri Sembilan, ikan gapi, laga, kelisa dan puluhan spesies ikan hiasan bukan sekadar dipelihara untuk mencantikkan akuarium, sebaliknya menjadi ‘guru’ yang mengajar pelajar mengenai kemahiran, disiplin, keusahawanan dan erti berdikari.
Menurut Pengarahnya, Ahmad Syukri Mohamed Yunus, menerusi Sijil Khas Ikan Hiasan, golongan OKU diberi peluang mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang yang mempunyai potensi ekonomi serta peluang pekerjaan.
“Lebih istimewa, KK Tampin merupakan satu-satunya kolej komuniti di negara ini yang menawarkan program khas TVET dalam bidang ikan hiasan khusus kepada pelajar OKU,” katanya.
Menurutnya, program yang diperkenalkan sejak 2017 itu memberi ruang kepada golongan OKU masalah pembelajaran meneruskan pendidikan dalam persekitaran yang bersesuaian dengan keupayaan mereka.
“Kita tidak mahu golongan OKU dipinggirkan. Mereka juga mempunyai potensi dan dengan sistem sokongan yang kuat, mereka boleh belajar, memperoleh kemahiran dan akhirnya mampu berdikari.
“Sehingga kini, program berkenaan telah melalui kira-kira enam kohort dengan pengambilan pelajar dibuat dalam kumpulan kecil bagi setiap kohort demi memastikan proses pembelajaran dapat dilaksanakan secara lebih berfokus,” katanya.
Menurutnya, program tersebut mengambil masa selama dua tahun merangkumi tiga semester pengajian di kampus dan satu semester latihan industri bagi memberi pendedahan sebenar kepada pelajar mengenai dunia pekerjaan.
Sementara itu, Ketua Program Sijil Khas Ikan Hiasan, Nurul Johanna Jemain berkata, bidang ikan hiasan mempunyai potensi besar untuk berkembang berikutan permintaan masyarakat yang semakin meningkat terhadap aktiviti pemeliharaan serta dekorasi akuarium.
Menurutnya, pelajar program berkenaan didedahkan kepada kira-kira 30 hingga 40 spesies ikan, selain mempelajari pelbagai aspek berkaitan penjagaan, pembiakan dan pengurusan ikan hiasan bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran secara praktikal.
“Bidang ini sebenarnya luas kerana bukan hanya tertumpu kepada memelihara ikan dalam akuarium. Sekarang terdapat permintaan terhadap aquascape, paludarium dan lain-lain lagi yang menggabungkan elemen tumbuhan, air dan dekorasi sehingga menjadikannya lebih menarik,” katanya.

Terangnya, perkembangan itu turut mewujudkan peluang dalam perkhidmatan penyelenggaraan akuarium memandangkan pemilik memerlukan kepakaran untuk memastikan akuarium, tumbuhan dan hidupan di dalamnya sentiasa berada dalam keadaan baik.
Tambahnya, permintaan komuniti terhadap ikan hiasan juga semakin pelbagai termasuk spesies seperti ikan gapi yang mempunyai kos pemeliharaan lebih rendah serta variasi warna menarik sekali gus membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka bidang tersebut sebagai kemahiran dan potensi sumber pendapatan pada masa depan.
Malah ujarnya, tahun lalu juga, pasukan Program Sijil Khas Ikan Hiasan berjaya meraih pingat emas menerusi inovasi Aquarium Edu-Kit dalam pertandingan kategori pelajar Special Education Needs sempena International Agrofood & Biotechnology Festival @ Special Education Needs 2025 (IFAMB@SEN 2025).
“Kejayaan berkenaan melengkapkan pencapaian warga unit Ikan Hiasan kolej itu apabila inovasi MOINATHRIVE for Ornamental Fish Industry pula meraih pingat perak pada International Grand Invention, Innovation and Design Expo (IGIIDeation) 2025 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,” katanya.
Pensyarah yang juga Ketua Penyelidik projek inovasi Mahang Gold, Norashikin Anjur, 37, berkata, bidang ikan hiasan mempunyai potensi besar untuk diterokai golongan OKU kerana industri tersebut menawarkan pelbagai cabang pekerjaan dan keusahawanan.
Malah menurutnya, bakat pelajar OKU juga berjaya dicungkil menerusi projek Mahang Gold: Ornamental Fish Expert apabila berjaya muncul sebagai pemenang utama pertandingan inovasi Regional Educators dan Students’ Product Exhibition (RESPEx) 2025.
“Industri ikan hiasan makin berkembang. Kita boleh lihat pertandingan ikan seperti ikan betta diadakan dengan kerap iaitu pada setiap minggu dan mempunyai kelompok peminat tersendiri,” katanya.
Menurut Norashikin, pembelajaran secara praktikal amat penting bagi pelajar berkeperluan khas kerana ia membolehkan mereka menguasai sesuatu kemahiran melalui latihan berulang dan pengalaman sebenar.
Bagi pelajar OKU intelektual, Muhammad Hadif Mohd. Nor, 20, dari Seremban, pengajian itu membuka dunia baharu apabila dia kini mampu menguji kualiti air, menyedia makanan hidup seperti Artemia dan Moina selain melakukan pembiakan ikan gapi serta pembenihan ikan laga.
Walaupun mengakui sukar mengingati pelajaran menjadi antara cabaran utama, Hadif tidak menjadikannya alasan untuk berputus asa, sebaliknya memilih untuk membaca dan mengulang kaji berkali-kali sehingga memahami sesuatu kemahiran.
“Saya pernah menjual ikan hiasan dan memang berhasrat menjadikannya sebagai salah satu sumber pendapatan. Kepada rakan-rakan OKU, jangan takut mencuba kerana ilmu sangat luas dan peluang sentiasa ada,” katanya.
Sementara itu, Aliya Adriyana Natasha Musawadi, 19, dari Seremban berkata, program berkenaan juga menjadikan dirinya lebih berdikari dan berdisiplin.
“Sebelum ini saya tidak tahu bagaimana ikan membiak dan bertelur atau bagaimana hendak menjaga kualiti air. Sekarang saya belajar banyak perkara dan pernah menjual ikan hiasan.
“Kalau diberi peluang sambung pengajian, rebutlah peluang itu. Jangan malu atau ragu-ragu kerana kita perlu berusaha untuk berdikari dan membina masa depan sendiri,” katanya.
The post Sijil Ikan hiasan Kolej Komuniti Tampin bantu OKU appeared first on Kosmo Digital.

