
SIK - Seakan menangisi pemergiannya, bumi Sik hari ini dibasahi hujan sejak kira-kira 5 petang tadi bagi menyambut kepulangan jenazah Allahyarham Pegawai Waran II TLR, Muhammad Faisol Tamadun, 36 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak semalam.
Bagaimanapun hujan yang pada asalnya lebat, kemudiannya berhenti seolah-olah memberi ruang untuk urusan pengebumian wira negara itu dilaksanakan.

Keadaan itu membuka peluang kepada ribuan individu untuk hadir ke Tanah Perkuburan Islam Sik dekat Masjid Al-Muhtadin di sini, bagi mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham, sekali gus mendoakan kesejahteraannya di alam sana.
Terdahulu jenazah Allahyarham tiba di rumah kakak sulungnya, Noryani Tamadun, 50, di Kampung Tanjung kira-kira jam 8.55 malam.

Suasana pilu dapat dirasai oleh semua yang hadir apabila isteri Allahyarham, Nor Syuhada Jamil dan dua anaknya saling berpelukan dengan sanak saudara.
Jenazah kemudiannya dibawa ke masjid tersebut kira-kira jam 9.20 malam untuk disembahyangkan oleh lebih 1,000 jemaah yang mula memenuhi pekarangan rumah ibadat itu sejak sebelum maghrib.
Selepas disolatkan, jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke kawasan tanah perkuburan dan selesai dikebumikan kira-kira jam 10.10 malam.
Proses pengebumian disempurnakan dengan penuh istiadat oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan jenazah Muhammad Faisol disemadikan di bersebelahan pusara ibu, Fatimah Abdullah serta ayahnya, Tamadun Othman yang meninggal dunia Ogos tahun lalu.

Sementara itu Noryani ketika ditemui media menzahirkan rasa syukur kerana segala urusan melibatkan pengurusan jenazah adik bongsunya itu yang dipanggil 'Adik Mad', berjalan lancar.
"Alhamdulillah, jenazah Adik Mad sempurna dan segalanya seakan dipermudahkan. Ramai yang hadir sejak semalam, tak putus-putus orang datang ke rumah termasuk kawan-kawan Adik Mad.
"Terima kasih kepada semua yang membantu keluarga memudahkan urusan arwah Adik Mad," katanya. - Getaran, 24 April 2024.

