
MELAKA – Sikap bertolak ansur Perikatan Nasional (PN) dalam rundingan pembahagian kerusi dengan Barisan Nasional (BN) disifatkan antara faktor yang membolehkan kerjasama kedua-dua gabungan itu direalisasikan sehingga mencatat kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam.
Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kesediaan pemimpin PN mengutamakan agenda penyatuan berbanding tuntutan jumlah kerusi memperlihatkan pendekatan berbeza dalam usaha membentuk kerjasama politik antara kedua-dua gabungan.
Menurutnya, walaupun pendekatan itu pada awalnya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sebahagian ahli dan penyokong PN yang beranggapan parti berkenaan terlalu banyak berkompromi, keputusan PRN Melaka memperlihatkan hasil daripada rundingan berasaskan tolak ansur tersebut.
Beliau berkata, penyatuan politik antara BN dan PN perlu dilihat daripada perspektif lebih besar dan tidak hanya tertumpu kepada pembahagian kerusi atau kepentingan sesebuah parti.
“Formula penyatuan ummah ini berjaya kerana ada sikap tolak ansur yang dipamerkan oleh tokoh-tokoh pemimpin PN yang tidak mementingkan mengenai jumlah kerusi yang dituntut tetapi meletakkan penyatuan Melayu sebagai asas utama dalam rundingan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairuddin berkata, kejayaan BN-PN di Melaka juga perlu dijadikan iktibar kepada ahli dan pemimpin akar umbi supaya memberikan kepercayaan kepada kepimpinan tertinggi dalam menguruskan rundingan politik.
Katanya, tumpuan ahli di peringkat akar umbi seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh gerak kerja parti secara berterusan, sistematik dan menyeluruh bagi memastikan sokongan rakyat dapat dikekalkan.
Beliau turut berpandangan kerjasama berkenaan berpotensi menjadi permulaan kepada pembentukan gabungan politik Melayu yang lebih tersusun sekiranya semangat tolak ansur itu dapat dikekalkan.
Bagaimanapun, Khairuddin berkata, kekuatan politik Melayu perlu bergerak seiring dengan penghormatan terhadap hak kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah, katanya, kestabilan politik negara yang mengambil kira kepentingan semua kaum dan agama penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh rakyat dalam sektor ekonomi, politik dan sosial.
“Apabila kuasa politik Melayu kuat dan stabil, ia akan memberi manfaat secara langsung kepada keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum mahupun agama di negara kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Sikap ‘mengalah’ PN bawa hasil dalam kerjasama BN-PN appeared first on Kosmo Online.






