Silap Tayang Program, Alhijrah Perlu Bertanggungjawab - Menteri

27 Aug 2023 • 4:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tangkap layar program lama yang diulang tayang oleh Alhijrah semalam - gambar X

KUALA LUMPUR - Pengurusan syarikat Al Hijrah Media Corporation iaitu pemilik stesen televisyen Alhijrah  perlu bertanggungjawab atas penayangan semula sebuah program, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kecuaian dan kerja secara ambil lewa tidak dapat diterima dalam bidang penyiaran.

Tegas beliau, bidang berkenaan memerlukan amalan ketelitian yang tinggi.

“Kecuaian dan kerja secara sambil lewa tanpa amalan ketelitian tidak dapat diterima didalam bidang penyiaran.

“Justeru pihak @TVAlhijrah wajib mengambil tanggungjawab dan tindakan serta merta,” katanya menerusi ciapan di X hari ini.

Mohd Na’im menyatakan demikian sebagai mengulas tayangan semula sebuah program yang didakwa disiarkan sewaktu negara masih berada di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Tayangan tersebut disedari seorang netizen, Fakhrurrazi Rashid yang memuat naik tangkap layar program berkenaan di platform X, semalam.

“Terbuka chanel TV Al-Hijrah malam ni. Sekali ulangan program masa PAS - PN jd (jadi) kerajaan pusat sebelum PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15).

“Patutlah orang Melayu masih percaya PAS masih kerajaan sekarang ke Menteri Agama tak?,” katanya.

Ciapan berkenaan pantas menerima respon Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang memberi jaminan akan menghubungi pengurusan syarikat terbabit pada kadar segera untuk penjelasan.

Sementara itu, Al Hijrah nenerusi kenyataan balas memberitahu, mereka mengambil maklum program yang diulangsiar semalam.

image is not available

“Kami akan melaksanakan tindakan siasatan dalaman dan susulan dari itu, tindakan yang sewajarnya akan diambil.

“Penambahbaikan proses dalaman juga akan dilakukan ole pihak TV Allijrah agar perkara tersebut tidak berulang,” katanya. - Getaran, 27 Ogos 2023