Silverlake Axis lantik KMS Solutions sebagai pengedar rumusan perkhidmatan kewangan digital di Vietnam
zulfadli
17/10/2023 - 10:10
KUALA LUMPUR 17 Okt - Silverlake Axis (SAL) melantik KMS Solutions sebagai rakan kongsi rasmi mereka di Vietnam untuk dilancarkan di pasaran.
Amazon Web Services juga akan menyokong pengembangan SAL sebagai rakan kongsi awannya di Vietnam, menerusi majlis menandatangani perjanjian di Ho Chi Minh City, Vietnam hari ini.
Di bawah kerjasama ini, KMS mengambil peranan sebagai rakan kongsi pasaran SAL, terutamanya memfokuskan pada pengagihan dua tawaran utama.
Ia meliputi Mobius, platform perbankan hujung ke hujung yang merangkumi beberapa komponen perbankan teras ke dalam satu platform, dan Symmetri, rumusan yang direka untuk menyediakan bank runcit dengan rangkaian perisian perbankan komprehensif.
Kerjasama strategik ini menandakan komitmen SAL untuk menyokong entiti BFSI (Perbankan, Perkhidmatan Kewangan dan Insurans) dan mengembangkan kehadiran mereka di Vietnam.
Naib Presiden Kanan Perniagaan ASEAN KMS, Tai Le berkata, visi Silverlake Axis untuk masa depan perkhidmatan kewangan digital yang mengutamakan pelanggan sejajar dengan hala tuju pihaknya.
"Kami percaya bahawa kerjasama ini, ditambah dengan rekod prestasi kami yang terbukti dalam kejayaan melaksanakan projek teknologi inovatif di rantau ini, akan memperkasakan kami untuk mencapai matlamat bersama.
"Bersama-sama, kami menyasar untuk mengukuhkan daya saing, meningkatkan pengalaman pelanggan, meningkatkan kecemerlangan operasi, dan memacu kecekapan kos institusi kewangan dalam pasaran Vietnam," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SAL, Cassandra Goh pula berkata, pertumbuhan pesat sektor fintech Vietnam, didorong oleh kelas pertengahan yang berkembang, populasi celik teknologi dan landskap e-dagang berkembang maju memberikan persekitaran menggalakkan untuk rumusan digital pihaknya yang disepadukan dengan lancar ke dalam pasaran dan mempercepatkan pertumbuhan sektor itu.
"Dalam mengejar matlamat kami untuk menyokong BFSI dan meningkatkan celik kewangan di seluruh rantau ini, kami mempunyai keyakinan penuh terhadap KMS sebagai sekutu untuk merealisasikan visi ini. Kami mengharapkan impak positif yang boleh kami lakukan terhadap pasaran Vietnam," katanya. - DagangNews.com


