Sim: Reformasi MPM perlu untuk licinkan pengendalian kes

28 Feb 2024 • 9:20 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata reformasi terhadap Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) meliputi aspek operasi, proses, dasar undang-undang dan infrastruktur perlu dilakukan bagi meningkatkan lagi keberkesanan mahkamah itu.

Sim berkata ini susulan peningkatan aduan kes pembuangan kerja secara tidak adil dan pertikaian perjanjian perusahaan yang diterima mahkamah itu setiap tahun.

Katanya sepanjang tahun lepas sahaja, MPM menerima 1,822 kes seumpama itu berbanding 1,657 kes pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Kolokium Reformasi Perundangan dan Pengurusan MPM, di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran.

Sim juga berkata beberapa penambahbaikan terhadap MPM telah dilakukan termasuk menambah tempoh pelantikan pengerusi MPM kepada empat tahun berbanding dua tahun sebelum ini untuk melancarkan proses perjalanan mahkamah itu.

Katanya pada tahun ini beberapa pembaharuan juga akan dilaksanakan MPM, antaranya memendekkan tempoh masa proses pengadilan, mengurangkan kes-kes tertunggak, menambah baik fasiliti dan kemudahan di mahkamah .

Mengenai kolokium yang berlangsung dua hari berkenaan, Sim berkata program yang julung kali diadakan itu adalah sebagai wadah mendapatkan saranan dan pandangan daripada pakar undang-undang, wakil majikan, pekerja dan majlis peguam untuk pemerkasaan MPM.

Ditubuhkan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967, MPM merupakan sebuah tribunal serta badan tunggal untuk memutuskan kes-kes melibatkan pembuangan kerja, perjanjian kolektif dan pertikaian perusahaan di antara majikan, pekerja dan kesatuan-kesatuan sekerja yang berkaitan. -Bernama