Simbol Kekayaan Zaman Dahulu, Ketahui Keunikan Kraftangan Manik Etnik Peribumi Di Sarawak

12 Oct 2022 • 8:18 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Bukan sekadar perhiasan tetapi simbol status orang dulu

Simbol Kekayaan Zaman Dahulu, Ketahui Keunikan Kraftangan Manik Etnik Peribumi Di Sarawak. Di Sarawak seni kraftangan manik cukup terkenal sehinggakan kemahiran untuk menggubah satu seni tradisi ini amat dihargai oleh orang di Bumi Kenyalang ini.

Terdapat pelbagai jenis manik diolah misalnya seperti daripada kaca, akik bahkan permata dan ini merupakan salah satu bukti peradaban manusia yang wujud sejak berpuluh ribu tahun lalu.

Keunikan seni manik yang diolah dalam pelbagai bentuk, saiz dan juga warna membuatkan ia menjadi sebuah barang perhiasan diri bahkan juga merupakan barangan keperluan harian untuk kaum peribumi di Sarawak.

image is not available
Simbol Kekayaan Zaman Dahulu, Ketahui Keunikan Kraftangan Manik Etnik Peribumi Di Sarawak

Keunikan seni kraftangan manik mengikut etnik di Sarawak

Sudah tentu, jika ada keramaian dan juga pesta pasti anda pernah melihat seni kraftangan manik ini dipromosikan oleh warga tempatan akan keunikannya yang diolah dalam pelbagai bentuk misalnya seperti kalung, pakaian, bahkan kemudahan harian seperti bakul.

Sememangnya seni warisan manik ini telah diamalkan dan dibudayakan dalam kehidupan seharian kaum peribumi di Sarawak seperti kaum Kelabit, kaum Iban, kaum Kayan dan kaum Kenyah.

Fungsi manik juga berbeza-beza mengikut budaya setiap kaum yang ada di Sarawak misalnya untuk menonjolkan kekayaan, kecantikan dan semestinya status seseorang itu sendiri.

image is not available
Kredit foto: Utusan Sarawak

Kegunaan seharian dan upacara tradisional

Sehingga ke hari ini manik masih digunakan dalam kehidupan seharian sesetengah etnik di Sarawak misalnya seperti masyarakat Kelabit, Lun Bawang, Kenyah dan Bidayuh.

Terdapat juga manik yang dipercayai mempunyai kuasa yang luar biasa dan dianggap istimewa sebagai perantara yang penting untuk sesuatu upacara keagamaan mengikut kepercayaan dan adat resam masyarakat tertentu.

Manik juga digunakan sebagai aksesori bagi upacara tradisional. Semakin lama usia manik, semakin tinggi nilai status pemiliknya dipercayai secara tradisi dimiliki oleh keluarga yang berstatus sosial tinggi dalam kalangan masyarakat.

image is not available
Kredit foto: The Malaysian Reserve

Kegunaan seni manik warisan etnik peribumi Sarawak

Untuk masyarakat Orang Ulu, mereka menggunakan manik sebagai tanda dalam pertunangan. Keluarga yang mempunyai status tinggi akan memberi sebutir manik likut sekala bersama manik lama berwarna kuning dan tidak bercorak sebagai hadiah perkahwinan.

Bagi masyarakat Iban pula, pengantin Iban berasal dari Kapit akan memakai pakaian diperbuat daripada manik. Pakaian tersebut diperbuat menggunakan manik karnelian kuno dan manik berwarna warni diikat menjadi pakaian dipadankan dengan topi manik.

Kaum Kelabit pula percaya manik yang dimiliki bomoh boleh menyembuhkan penyakit dengan merendamkan manik ke dalam air dan meminumnya. Manik juga dipakaikan pada mayat dipercayai ‘memberi cahaya di alam ghaib’.

image is not available
Kredit foto: kraftang

Sememangnya Sarawak sebuah negeri yang kaya dengan hasil kraf tangan yang unik dan menarik.

Rata-rata kaum wanita etnik Sarawak mempunyai kemahiran mengikat dan menggubah manik menjadi suatu produk yang mempunayi keistimewaan sendiri bahkan sebagai produk pelancongan ekslusif.

Lagi sejarah budaya dan etnik di Sarawak, baca di sini:

View Original Article