Sime Darby ambil alih firma pengedar peralatan Australia Selatan bernilai RM1.49 bilion
diyana
14/08/2023 - 16:24
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Sime Darby Berhad akan mengambil alih Cavpower Group (Cavpower), yang merupakan pengedar peralatan Caterpillar Inc (CAT) di Australia Selatan dan Broken Hill di New South Wales, dengan pertimbangan tunai berjumlah AU$500mil (RM1.49 bilion).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata anak syarikatnya, Sime Darby Industrial Australia Pty Ltd (Sime Darby) telah memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) untuk membeli Kuxton Pty Ltd dan 98.9% modal saham Kagera Pty Ltd.
Jelasnya, cadangan pengambialihan tersebut akan berdasarkan tanpa tunai dan tanpa hutang, tertakluk kepada pelarasan lazim modal kerja, perbelanjaan modal serta penilaian dan rekod jumlah stok yang dipegang.
Kagera merupakan syarikat induk kumpulan syarikat yang mengendalikan Cavpower, beberapa hartanah dan kepentingan dalam usaha sama.
Sementara itu, Kuxton, memegang 1.1% kepentingan dalam Kagera, yang dalam pembelian, memberikan Sime Darby pemilikan penuh ke atas Kuxton.
Urus niaga itu dijangka akan dimuktamadkan dalam beberapa minggu akan datang sebaik sejurus selepas syarat akhir dipenuhi.
Menurut Sime Darby, ia berhasrat untuk memanfaatkan prestasi yang ditunjukkan dalam mengurus jenama Cavpower dan Cat merentasi sektor sumber, infrastruktur dan tenaga yang semakin berkembang.
“Pengambilalihan Cavpower melengkapkan portfolio sedia ada kami dan menyediakan peluang untuk mengembangkan bahagian perindustrian secara geografi dalam bidang infrastruktur dan komoditi dengan pertumbuhan tinggi dalam pasaran Australia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Jeffri Salim Davidson dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menambah bahawa urus niaga tersebut memberi peluang yang jarang berlaku kepada Sime Darby bagi mendedahkannya kepada sektor sumber yang meluas di Australia Selatan, mengukuhkan lagi jejak Sime Darby Industrial di Australia dan Asia Pasifik.
“Kami amat berbesar hati kerana telah mengekalkan pasukan pengurusan Cavpower yang kukuh dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka untuk memanfaatkan kepimpinannya dalam sektor sumber, infrastruktur dan tenaga,” ujar Jeffri. - DagangNews.com


