Sime Darby Auto Bavaria, SDRAC-Hertz Malaysia jalin kerjasama tawar perkhidmatan sewa kereta mewah elektrik

Cars
6 Feb 2024 • 4:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sime Darby Auto Bavaria, SDRAC-Hertz Malaysia jalin kerjasama tawar perkhidmatan sewa kereta mewah elektrik

azan

06/02/2024 - 16:48

KUALA LUMPUR 6 Feb - Sime Darby Auto Bavaria, pengedar sah terbesar BMW di Malaysia menjalinkan kerjasa dengan Sime Darby Rent-A-Car (SDRAC) - Hertz Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan sewaan kereta mewah elektrik sepenuhnya.

Pengarah Urusan Sime Darby Auto Bavaria, Vi Thim Juan berkata, syarikat itu komited untuk menjadi pelopor kepada penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dengan memanfaatkan BMW iX miliknya bagi gaya dan keunikan sejajar dengan trend terkini dalam teknologi EV.

"Bersama-sama dengan Hertz Malaysia, kami mencipta ekosistem teguh yang menyokong lagi penggunaan EV yang semakin meningkat.

"BMW iX ialah model yang sempurna untuk ditawarkan kerana ia mencatatkan pembelian tertinggi dalam segmen BMW EV tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, pengarah urusan SDRAC, Harun Mohd Joned berkata, kerjasama itu membolehkan pelanggan meneroka perkhidmatan sewa lanjutan lain, termasuk pemandu, penyediaan pemindahan lapangan terbang dan pengaturan peribadi untuk majlis korporat serta acara persendirian.

Pelanggan yang berminat untuk merasai pengalaman BMW iX boleh membuat tempahan menerusi laman web atau hadir ke cawangan Hertz Malaysia yang mengambil bahagian di Lembah Klang, Pulau Pinang atau Johor Bharu.

Sempena meraikan kerjasama dan perayaan Tahun Baru Cina akan datang, harga sewa pengenalan BW iX ditawarkan bermula RM550 sehari dan RM5,500 sebulan.

SDRAC mengendalikan francais sewa kenderaan Hertz dan Thrifty di Malaysia dan menguruskan hampir 3,000 kenderaan, mewakili salah satu armada terbesar di Asia Tenggara. - DagangNews.com