Sime Darby Oils kembangkan jejak dalam segmen F&B bekal Alif Marjerin untuk GTR Burger
diyana
14/06/2023 - 17:17
KUALA LUMPUR 14 Jun - Sime Darby Plantation Bhd melalui anak syarikatnya Sime Darby Oils telah mengembangkan jejaknya ke dalam segmen makanan dan minuman (F&B).
Kumpulan itu berkata Sime Darby Oils telah bekerjasama dengan Koperasi GTR sebagai pembekal Alif Marjerin yang dibungkus secara eksklusif untuk GTR Burger, jenama burger tempatan yang terkenal di Malaysia.
"Alif Marjerin telah dirumus dengan aroma dan rasa yang unik untuk mempertingkatkan pelbagai jenis masakan, daripada sarapan kegemaran Malaysia, roti canai, kepada biskut perayaan yang lazat," katanya dalam satu kenyataan
Tambahnya, Alif Marjerin yang diperkenalkan ke pasaran pada Mei 2022 dibungkus secara eksklusif kini akan diedarkan kepada semua usahawan gerai GTR Burger di seluruh negara.

Ketua Unit Perniagaan Sime Darby Oils Professional, Mohammad Rahimi Abdullah berkata kerjasama itu menandakan kejayaan penting bagi Alif kerana ia mengembangkan jejaknya ke dalam F&B dan seterusnya mewujudkan kehadiran jenama marjerin itu dalam kalangan pengendali makanan.
"Dengan lebih 300 usahawan GTR Burger mengendalikan gerainya di seluruh negara dan lebih ramai dijangka menyertainya, kami berharap dapat berkongsi kebaikan Alif Marjerin dengan peminat GTR Burger di samping mengukuhkan kehadiran kami dalam segmen F&B," katanya.
Menurut syarikat itu GTR Burger telah mewujudkan program perniagaan untuk membangunkan usahawan yang kebanyakannya terdiri daripada individu dalam golongan B40.
“Kami gembira dapat memainkan peranan untuk komuniti dan meneroka lebih banyak cara untuk menyokong perniagaan tempatan.
Pemilihan Alif Marjerin sebagai marjerin eksklusif kepada semua gerai burger GTR bukan sahaja membuktikan kualiti produk kami tetapi juga akan memastikan bekalan berterusan bahan-bahan berkualiti bagi memenuhi kehendak pelanggan mereka dan menyokong objektifnya dalam membangunkan usahawan yang berjaya," tambah Mohammad Rahimi. -DagangNews.com

