Simpanan minyak sawit tertinggi dipengaruhi kemerosotan eksport paling rendah dalam setahun - Phillip Capital

LocalBusiness & Finance
12 Jun 2026 • 12:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Simpanan minyak sawit tertinggi dipengaruhi kemerosotan eksport paling rendah dalam setahun - Phillip Capital Image from: Simpanan minyak sawit tertinggi dipengaruhi kemerosotan eksport paling rendah dalam setahun - Phillip Capital amree12/06/2026 - 12:35 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Jun – Inventori minyak sawit Malaysia meningkat kepada 2.43 juta tan metrik pada Mei 2026, paras tertinggi dalam tempoh setahun, dipengaruhi faktor kemerosotan ketara eksport.

 

Phillip Capital berkata, stok meningkat 5.1% bulan ke bulan (MoM) pada Mei lalu apabila eksport komoditi itu jatuh 14.5% kepada 1.11 juta tan metrik, paras paling rendah dalam tempoh setahun.


Menurut firma penyelidikan itu, inventori yang tinggi namun tidak mengubah prospek positif harga minyak sawit mentah (MSM) kerana Indonesia terus mengutamakan dasar penggunaan domestik biodiesel.


"Perbincangan berhubung mekanisme pemusatan eksport negara jiran berkenaan turut menambah masalah ketidaktentuan kepada aliran perdagangan minyak sawit serantau," katanya dalam nota analisis.


Justeru, Phillip Capital menaikkan unjuran purata harga MSM kepada RM4,350 satu tan bagi 2026 berbanding RM4,200 sebelum ini, serta RM4,400 satu tan bagi 2027 berbanding RM4,000 sebelumnya.


Ia menjangka harga MSM terus disokong kukuh permintaan minyak boleh dimakan global, penggunaan biodiesel yang meningkat serta gangguan bekalan akibat faktor cuaca dan ketegangan geopolitik.


Pada Mei 2026 katanya, harga purata MSM tempatan susut 1.5% kepada RM4,498.50 satu tan berbanding RM4,567.50 pada April lalu berikutan pemulihan bermusim pengeluaran dan peningkatan inventori.


"Bagaimanapun, harga tersebut masih 15.9% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, menunjukkan pasaran adalah kekal berada pada paras yang menggalakkan," kata Phillip Capital.

 


Dalam tempoh sama, pengeluaran MSM Malaysia jatuh 7% MoM kepada 1.52 juta tan disebabkan hasil tandan buah segar (FFB) dan kadar perahan minyak (OER) rendah di kebanyakan kawasan pengeluaran.


Jelas firma penyelidikan tersebut, Sabah merekodkan penurunan pengeluaran yang paling besar pada Mei 2026 iaitu mencecah sebanyak 9.4%, diikuti Semenanjung Malaysia (-8.1%) dan Sarawak (-2.0%).


Kata Phillip Capital, walaupun pengeluaran dijangka pulih pada separuh kedua tahun ini, risiko penurunan harga masih terkawal berikutan faktor sokongan yang memihak kepada pasaran minyak sawit.


"Antaranya, harga minyak mentah dunia tinggi, pelaksanaan mandat biodiesel Indonesia, jangkaan pelaksanaan program biodiesel B15 di Malaysia serta kebimbangan terhadap risiko cuaca," jelasnya.


Firma tersebut namun berpandangan margin keuntungan syarikat perladangan mungkin berdepan tekanan daripada kenaikan kos buruh, logistik dan baja walaupun harga MSM dilihat masih kekal tinggi.


Sehubungan itu, Phillip Capital mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor perladangan, dan memilih SD Guthrie Berhad dengan saranan 'beli' dan harga sasaran tidak berubah RM7.00 sesaham.


Ujarnya, syarikat itu berada pada kedudukan baik menghadapi turun naik harga MSM menerusi operasi perladangan berskala besar, kepelbagaian perniagaan hiliran serta potensi penjanaan nilai tanah.


"Aliran tunai kukuh, pengurusan modal berhemat serta pengembangan segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) terus mengukuhkan daya tahan pelaburan kumpulan dalam jangka panjang," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard