
SHAH ALAM, 4 JULAI: Persimpangan lampu isyarat di hadapan Jabatan Kerja Raya Kuala Langat dan Taman Seri Telok Datok tidak dibenarkan membelok ke kanan mulai 7 Julai.
Ahli Dewan Negeri Banting V Papparaidu memaklumkan arahan itu merupakan langkah percubaan bertujuan mengurangkan kesesakan jalan raya.
“Saya menerima banyak maklum balas dan rungutan daripada penduduk serta pengguna khususnya melibatkan kesesakan yang sering berlaku dari Bandar Banting sehingga ke kawasan Sungai Manggis.
“Aduan dan maklum balas dipanjangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk perhatian dan satu inisiatif awal akan dilaksanakan sebagai langkah percubaan menangani isu kesesakan ini.
“JKR bersetuju melaksanakan inisiatif tidak boleh belok ke kanan di simpang berlampu isyarat Seksyen 403 (depan JKR Kuala Langat dan Taman Seri Telok Datok) bermula 7 hingga 31 Julai depan,” katanya di Facebook.
Tambah Papparaidu, pengguna dari arah Taman Seri Telok Datok serta kawasan sekitar disarankan untuk membuat pusingan U di bawah Jejambat Telok Datok bagi meneruskan perjalanan ke arah Klang.

The post Simpang lampu isyarat depan JKR Kuala Langat tidak dibenar belok kanan appeared first on Selangorkini.



