SimplySiti, ZUS Coffee lancar kolaborasi eksklusif gincu inspirasi teh susu

Business & Finance
29 Jul 2026 • 3:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SimplySiti, ZUS Coffee lancar kolaborasi eksklusif gincu inspirasi teh susu
(Dari kiri) Pengurus Pemasaran Runcit ZUS Coffee, Michelle Ong, Pengurus Kanan Perkongsian Jenama ZUS Coffee, James Lee, Siti Nurhaliza, Ketua Pembangunan Produk Baharu SimplySiti, Izdihar Mohd Noor dan Ketua Pegawai Operasi (COO) SimplySiti, Kevin Foo pada majlis pelancaran kempen 'Freshen Your Mood, Freshen Your Look'
Image from: SimplySiti, ZUS Coffee lancar kolaborasi eksklusif gincu inspirasi teh susu
Siti Nurhaliza menunjukkan dua rona gincu baharu 'Milk Tea Brown' dan 'Latte Brown' daripada koleksi Fresh Color Lipstick SimplySiti.

JENAMA kecantikan tempatan, SimplySiti dan rangkaian kopi serta teh, ZUS Coffee berganding bahu menerusi kempen 'Freshen Your Mood, Freshen Your Look' dengan memperkenalkan dua rona gincu eksklusif diinspirasikan daripada minuman teh susu.

Kolaborasi yang dilancarkan pada 27 Julai itu menampilkan rona 'Milk Tea Brown' dan 'Latte Brown' daripada koleksi Fresh Color Lipstick SimplySiti, hanya boleh dimiliki menerusi promosi istimewa di semua cawangan Zus Coffee di Semenanjung Malaysia sepanjang Julai dan Ogos ini.

Pengasas SimplySiti, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berkata, kolaborasi berkenaan menggabungkan elemen kecantikan dan minuman bagi memberikan pengalaman baharu kepada pengguna.

"Bagi saya, warna gincu kegemaran di bibir mampu menceriakan suasana hati sama seperti minuman kegemaran yang memberikan ketenangan dan kesegaran.

"Menerusi rona Milk Tea Brown dan Latte Brown, kami ingin membawa perasaan indah itu ke dalam dua rona yang boleh dipakai oleh setiap wanita untuk menikmati detik-detik istimewa dalam kehidupan seharian," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, dua rona baharu itu melengkapkan koleksi Fresh Color Lipstick SimplySiti yang dirumus khas untuk menyerlahkan kecantikan tona kulit wanita menerusi pilihan warna moden dan segar.

**media[3598596]**

Menurutnya, koleksi berkenaan hadir dalam pilihan 'moist' dan 'matte' yang menawarkan pemakaian ringan, selesa serta tidak mengeringkan bibir.

Rona Milk Tea Brown dalam rangkaian moist diperkaya dengan minyak jojoba dan Vitamin E bagi memberikan kemasan berkilau semula jadi serta kelembapan tahan lama, manakala Latte Brown dalam rangkaian matte mengandungi minyak camellia dan Vitamin E dengan kemasan baldu yang lembut.

Sementara itu Ketua Pemasaran ZUS Coffee Malaysia dan Singapura, Jennifer Sim Hui Wei berkata, Fresh Brew Tea Series diperkenalkan sebagai pilihan kekal dalam menu bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan alternatif selain kopi.

"Menerusi Fresh Brew Tea Series, kami mahu mentakrifkan semula cara rakyat Malaysia menikmati waktu rehat pada sebelah petang dengan secawan teh yang menyegarkan.

"Kolaborasi bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza dan SimplySiti pula memberikan dimensi baharu kepada pengalaman menikmati minuman kegemaran sambil memperoleh sentuhan warna yang menyerlahkan keyakinan diri," ujarnya.

Sepanjang tempoh kempen, pelanggan yang membeli tiga minuman daripada siri Fresh Brew Tea akan menerima satu Fresh Color Lipstick SimplySiti bernilai RM35.70 secara percuma menerusi promosi 'Gift-With-Purchase' (GWP).

Pelanggan yang membeli satu minuman pula boleh mendapatkan gincu tersebut pada harga promosi RM25 menerusi tawaran 'Purchase-With-Purchase' (PWP).

Sebagai nilai tambah, setiap gincu didatangkan dengan pembungkusan khas yang mengandungi satu daripada tiga rekaan 'charm' misteri termasuk edisi khas berbentuk cawan ZUS Coffee yang dihasilkan dalam kuantiti terhad.

 

 

 

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved