Simposium EA Sektor Awam 2026 & Peluncuran RPSA 2026–2030 Perkukuh Agenda Transformasi Digital Kerajaan

28 Sep 2026 • 4:15 PM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: Simposium EA Sektor Awam 2026 & Peluncuran RPSA 2026–2030 Perkukuh Agenda Transformasi Digital Kerajaan
Gambar dibekal oleh Jabatan Digital Negara

Jabatan Digital Negara (JDN), Kementerian Digital hari ini menganjurkan Simposium Enterprise Architecture (EA) Sektor Awam Tahun 2026 dan Peluncuran Rancangan Pendigitalan Sektor Awam (RPSA) 2026–2030 yang mengangkat tema “Sinergi Ekosistem, Memacu Impak Digital” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Program ini menghimpunkan kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada kepimpinan kanan kerajaan, Ketua Pegawai Digital (CDO), pengurus teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pegawai sektor awam serta wakil industri dan akademia.

Image from: Simposium EA Sektor Awam 2026 & Peluncuran RPSA 2026–2030 Perkukuh Agenda Transformasi Digital Kerajaan
Gambar dibekal oleh Jabatan Digital Negara

Majlis Perasmian Simposium EA dan Peluncuran RPSA 2026–2030 disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dr. Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara. Penganjuran ini bertujuan memperkukuh kolaborasi dan perkongsian strategik dalam kalangan agensi sektor awam bagi memacu pendigitalan perkhidmatan kerajaan menerusi pendekatan Whole-of-Government (WoG) dan Enterprise Architecture (EA). Pendekatan ini penting bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan inisiatif digital kerajaan dilaksanakan secara lebih holistik, bersepadu dan berorientasikan hasil.

Simposium ini turut memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan tadbir urus digital, integrasi sistem serta penyampaian perkhidmatan yang berpusatkan rakyat. Pada masa yang sama, platform ini membuka ruang kepada Ketua Pegawai Digital (CDO), pengurus teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), agensi kerajaan, industri serta pemegang taruh untuk berkongsi amalan terbaik, cabaran dan pengalaman dalam pelaksanaan transformasi digital.

Image from: Simposium EA Sektor Awam 2026 & Peluncuran RPSA 2026–2030 Perkukuh Agenda Transformasi Digital Kerajaan
Gambar dibekal oleh Jabatan Digital Negara

Antara pengisian utama simposium termasuk perspektif global mengenai EA dan kerajaan digital, perbincangan mengenai cabaran reka bentuk WoG EA, transformasi digital ke arah kerajaan pintar dan berdaya tahan serta Wacana WoG mengenai peranan EA dalam merealisasikan Negara AI 2030. Perkongsian kejayaan transformasi digital daripada sektor awam, termasuk transformasi perkhidmatan pekerjaan, pengurusan hospital pengajar dan transformasi bandar pintar turut diketengahkan melalui simposium ini.

Penganjuran Simposium EA 2026 juga memperlihatkan kepentingan kerjasama merentas sektor dalam mempercepat agenda transformasi digital negara. Penglibatan sektor awam, industri dan universiti melalui pembentangan, wacana serta perkongsian pengalaman memberikan ruang kepada pemegang taruh untuk berkongsi pengetahuan, mengenal pasti cabaran dan meneroka penyelesaian digital secara bersama.

Image from: Simposium EA Sektor Awam 2026 & Peluncuran RPSA 2026–2030 Perkukuh Agenda Transformasi Digital Kerajaan
Gambar dibekal oleh Jabatan Digital Negara

Selain itu, Peluncuran RPSA 2026–2030 merupakan antara agenda utama yang mengangkat komitmen Kerajaan dalam memperkukuh ekosistem kerajaan digital secara menyeluruh bagi tempoh lima tahun akan datang.

RPSA 2026–2030 diperkenalkan sebagai dokumen strategik utama yang menjadi panduan dalam membentuk hala tuju pendigitalan sektor awam bagi tempoh lima tahun. Skop RPSA merentasi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), serta menterjemahkan hala tuju nasional seperti Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) ke dalam agenda pendigitalan sektor awam. RPSA turut memberi penekanan kepada penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, berintegriti dan berfokuskan rakyat.

Berteraskan visi “Rakyat Pintar Digital” dan tema “Paduan Dinamik Keseluruhan Kerajaan”, RPSA 2026–2030 mengangkat pendekatan WoG sebagai asas kepada penyepaduan usaha pendigitalan kerajaan. Pendekatan ini memberi penekanan kepada penyelarasan data, bakat digital, tatakelola dan infrastruktur bagi memastikan teknologi seperti GovTech dan kecerdasan buatan (AI) dapat dimanfaatkan secara bersepadu.

Image from: Simposium EA Sektor Awam 2026 & Peluncuran RPSA 2026–2030 Perkukuh Agenda Transformasi Digital Kerajaan
Gambar dibekal oleh Jabatan Digital Negara

RPSA 2026–2030 diterjemahkan melalui lima Teras Strategik, iaitu:

1. Arus Perdana GovTech;

2. Daya Guna Kehebatan Data dan Kecerdasan Buatan;

3. Pengukuhan Keupayaan Bakat Digital Berkemahiran Tinggi;

4. Pemerkasaan Tatakelola Digital; dan

5. Infrastruktur dan Kepercayaan Digital Mampan.

Kelima-lima teras tersebut saling melengkapi bagi membentuk ekosistem kerajaan digital yang bersepadu, pintar, selamat dan mampan, dengan matlamat akhir menghasilkan penyampaian perkhidmatan awam digital yang lebih mudah, pantas, selamat, inklusif dan memberikan nilai sebenar kepada rakyat. RPSA 2026–2030 tidak dilihat semata-mata sebagai rancangan berkaitan teknologi, sebaliknya merupakan agenda transformasi sektor awam yang menggabungkan aspek rakyat, proses, data, teknologi, bakat, tatakelola dan infrastruktur.

Visi RPSA 2026–2030, “Rakyat Pintar Digital”, mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan pendigitalan memberikan manfaat sebenar kepada rakyat. Visi ini menekankan bahawa rakyat bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi perlu berupaya memanfaatkan perkhidmatan digital bagi menjimatkan masa dan kos, membuat pilihan berdasarkan maklumat yang sahih serta melindungi diri daripada ancaman siber. Pada masa yang sama, aspek keterangkuman diberi perhatian supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat transformasi digital.

Pelaksanaan RPSA turut berpandukan lima prinsip utama, iaitu Keseluruhan Kerajaan EA (WoG EA), Reka Bentuk Berteraskan Keselamatan, Prinsip Sekali Sahaja, Pengalaman Rakyat dan Tanggungjawab Bersama. Prinsip-prinsip ini bertujuan memastikan perkhidmatan digital dibangunkan secara bersepadu, selamat, mudah dan berorientasikan nilai kepada rakyat.

Secara keseluruhannya, RPSA 2026–2030 bukan sekadar rancangan berkaitan teknologi, merupakan agenda transformasi sektor awam yang menghubungkan rakyat, proses, data, teknologi, bakat, tatakelola dan infrastruktur. Kejayaannya bergantung pada keupayaan seluruh jentera kerajaan untuk bergerak secara seiring melalui semangat Whole-of-Government bagi membentuk perkhidmatan awam digital yang lebih mudah, pantas, selamat, inklusif dan memberikan nilai yang nyata kepada rakyat.

Penganjuran Simposium EA Sektor Awam 2026 dan Peluncuran RPSA 2026–2030 turut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara sektor awam, industri dan akademia dalam mempercepat agenda pendigitalan negara. Usaha ini diharap dapat mempercepat peralihan kepada pendigitalan yang menghasilkan impak, memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih bersepadu serta memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam mendepani perubahan teknologi, termasuk pemanfaatan AI ke arah aspirasi Negara AI 2030.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved