

Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024: KPDN Lindungi Pengguna Sewaktu Kajian Pelaksanaan ‘Lemon Law’
PUTRAJAYA, 4 JUN 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini menganjurkan Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 bertemakan perundangan berkaitan Lemon Law.
Simposium ini melibatkan penyertaan daripada wakil agensi Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), pemain industri, ahli akademik, wakil media dan gerakan pengguna. Simposium Kepenggunaan ini memfokuskan kepada cadangan pengukuhan aspek perlindungan pengguna melalui pengenalan Lemon Law.
Lemon Law adalah satu undang-undang yang menyediakan hak tebus rugi (redress) kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak dan gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi.


KAJIAN PERUNDANGAN BERKAITAN LEMON LAW DI MALAYSIA
Di Malaysia, peruntukan perundangan bercirikan ‘Lemon Law’ berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal dan pengilang untuk barangan yang tidak mematuhi gerenti termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] di bawah kawal selia KPDN.
Selain daripada Akta 599, beberapa perundangan lain seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967 turut mempunyai peruntukan undang-undang yang mempunyai komponen ‘Lemon Law’.
Sejajar dengan antara empat teras utama KPDN bagi tahun 2024 iaitu Pendayaupayaan dan Advokasi Kepenggunaan, Kementerian sedang menjalankan Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan Lemon Law bermula bulan Jun ini dan dijangka selesai pada bulan September 2024.
Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk melaksanakan reformasi undang-undang bagi mewujudkan kerangka perundangan perlindungan pengguna yang lebih komprehensif sejajar dengan tuntutan semasa.
Hasil kajian ini akan dijadikan asas pertimbangan untuk membuat keputusan dasar di peringkat Kementerian untuk menetapkan hala tuju pewujudan rangka kerja perundangan yang baharu bagi memperkukuhkan hak pengguna. Ini termasuklah keputusan untuk membuat penambahbaikan perundangan sedia ada iaitu Akta 599 atau pewujudan perundangan baharu.
STRATEGI INTERIM DAYA UPAYA PERLINDUNGAN PENGGUNA
Sebelum kerangka perundangan baharu dimuktamadkan, KPDN akan melaksanakan dua strategi interim pendayaupayaan perlindungan pengguna seperti berikut:
I. Penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor di KPDN sebagai pemudah cara bagi aduan pengguna berkaitan kenderaan bermotor di Malaysia. Kaedah rundingan yang akan digunakan adalah rundingan ‘Tripartite’ antara Kementerian, pembeli kereta dan pengedar/pengilang.
Melalui rundingan khas ini, diharapkan satu solusi yang adil dan seimbang yang melibatkan semua pihak dapat dicapai. Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor di KPDN ini berkuatkuasa secara rasminya mulai 1 Jun 2024.
Bidang tugas, tanggungjawab dan prosedur kerja Pasukan Rundingan Khas ini telah ditetapkan melalui satu Terma Rujukan di peringkat Kementerian. Antara syarat dan kriteria pelaksanaan rundingan khas yang ditetapkan dalam Terma Rujukan ini adalah seperti berikut:
a. Melibatkan kenderaan persendirian (kereta / motorsikal) baharu berusia tidak melebihi 6 bulan dari tarikh pendaftaran;
b. Kenderaan yang dibeli adalah masih dalam tempoh waranti yang sah sepanjang tempoh kelayakan rundingan dan tidak dimodifikasi;
c. Tidak termasuk kenderaan terpakai / kenderaan import terpakai (reconditioned); dan
d. Mana-mana kenderaan yang dikategorikan dalam product recall oleh pengeluar tidak layak melalui proses rundingan khas.
Mekanisme aduan bagi pengguna yang menghadapi isu berkaitan kenderaan bermotor baharu yang tidak memenuhi standard kualiti dan prestasi serta tuntutan awal mereka dengan pemain industri kurang berjaya dan tidak dapat diselesaikan adalah dengan mengemukakan aduan melalui empat (4) saluran utama aduan pengguna KPDN iaitu melalui :
i. Whatsapp : 019-848 8000
ii. Aplikasi Ez Adu KPDN
iii. Talian Hotline KPDN: 1-800-886-800; dan
iv. Portal E-Aduan KPDN: http:// eaduan.kpdn.gov.my
II.Pengukuhan Proses Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara Malaysia (BNM). KPDN sedang dalam proses mendapatkan kerjasama BNM supaya satu penyelarasan dan penyeragaman berkenaan surat persetujuan (consent letter) dibuat antara institusi perbankan/kewangan bagi membolehkan pengguna membuat tuntutan tebus rugi di Tribunal atau Mahkamah.
Pada masa kini, antara kekangan yang dihadapi oleh pengguna apabila ingin menuntut tebus rugi berkaitan kenderaan baharu yang rosak di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) adalah kesukaran mendapatkan surat persetujuan/consent letter daripada bank/institusi kewangan disebabkan oleh isu pemilikan kenderaan di bawah Akta Sewa Beli 1967 atau Akta 212.
Tafsiran pemilikan kenderaan bawah Akta 212 adalah pemilik kenderaan merupakan bank/institusi kewangan dan penyewa kenderaan pula merupakan pengguna, dan hak milik kenderaan hanya akan diserahkan kepada pengguna apabila selesai pembayaran. Maka, melalui strategi kedua ini dijangka akan membantu para pengguna menyelesaikan tuntutan mereka di TTPM dengan jayanya.
Dua strategi interim ini merupakan inisiatif intervensi oleh Kerajaan untuk membantu pengguna apabila tuntutan awal mereka dengan pemain industri kurang berjaya dan tidak dapat diselesaikan. Sehubungan itu, Kerajaan amat berharap dan berbesar hati sekiranya pemain industri terutamanya industri automatif bersedia untuk menyahut hasrat Kerajaan dan bersedia untuk berkerjasama melindungi hak pengguna dan memupuk pasaran yang adil dan telus.
Matlamat KPDN simposium ini menjadi platform menggerakkan reformasi kerangka perundangan untuk memperkukuhkan perlindungan hak pengguna melalui Lemon Law demi mewujudkan perdagangan dalam negeri yang sihat dan progresif sekali gus membantu perkembangan industri automatif negara.
The post Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024: KPDN Lindungi Pengguna Sewaktu Kajian Pelaksanaan ‘Lemon Law’ appeared first on Siakap Keli.
