Simulasi haji semai benih iman sejak cilik

LocalFamily & Parenting
11 Jun 2026 • 2:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Simulasi haji semai benih iman sejak cilik
Program anjuran Kemas dengan kerjasama pengendali pakej ibadah haji dan umrah, Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd itu melibatkan hampir 400 kanak-kanak bawah usia enam tahun daripada 30 Tabika Kemas di daerah Perak Tengah.
Image from: Simulasi haji semai benih iman sejak cilik
Khairudin (tiga dari kanan) menyerahlan replika passport sebagai simbolik perjalanan haji peserta Program Kecemerlangan Pendidikan Simulasi Haji Generasi Alpha di Masjid Sultan Yussuf Izzuddin Shah, Seri Iskandar pada Khamis.

PARIT - Pendedahan awal mengenai ibadah haji dalam kalangan kanak-kanak penting bagi membentuk kefahaman dan penghayatan agama sejak usia muda.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairuddin Abu Hanipah berkata, usaha tersebut perlu dimulakan dari peringkat awal bagi memastikan generasi muda, khususnya Generasi Alpha, memahami kepentingan rukun Islam kelima.

"Seperti pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pendidikan agama perlu dimulakan sejak kecil agar nilai dan kefahaman itu dapat dibentuk dengan baik.

"Dengan adanya kaedah ini, ia mungkin memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk merancang mendaftarkan anak-anak mereka lebih awal dalam akaun Tabung Haji sebagai persediaan jangka panjang," katanya selepas merasmikan Program Kecemerlangan Pendidikan Simulasi Haji Generasi Alpha di Masjid Sultan Yussuf Izzuddin Shah, Seri Iskandar, di sini pada Khamis.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan kerjasama pengendali pakej ibadah haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd itu melibatkan hampir 400 kanak-kanak berusia bawah enam tahun daripada 30 Tabika KEMAS di daerah Perak Tengah.

Hadir sama, Pengarah KEMAS Perak, Darnawati Dahalan; Pengerusi Komuniti KEMAS Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan Pengurus Wilayah Utara Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ahmad Hafiz Lukmanul Hakim.

**media[3547675]**

Khairuddin berkata, Program Kecemerlangan Pendidikan Simulasi Haji Generasi Alpha merupakan antara pendekatan berkesan dalam memberikan pendedahan secara praktikal kepada kanak-kanak.

“Tujuan utamanya adalah untuk memberi pendedahan awal kepada anak-anak mengenai asas rukun Islam kelima iaitu menunaikan fardu haji,” katanya.

Beliau berkata, program berkenaan turut memberi peluang kepada kanak-kanak memahami proses ibadah haji melalui pendekatan praktikal dengan bimbingan pihak Andalusia Travel & Tours sebagai pemudah cara.

Sementara itu, Ahmad Hafiz berkata, program simulasi haji dilaksanakan menggunakan pendekatan interaktif dan menyeronokkan bagi memudahkan kanak-kanak memahami perjalanan ibadah haji.

“Harapan kami agar kanak-kanak dapat memahami ibadah haji dengan lebih jelas kerana ia melibatkan pelbagai proses.

"Dengan sistem pengajaran yang lebih tersusun, mereka dapat menghayati ibadah ini dengan cara yang lebih mudah," katanya.

Tambah beliau, program sama akan diperluaskan kepada masyarakat secara lebih menyeluruh di seluruh negeri dan wilayah utara.