Sinar baharu rawatan kanser tekak, Hospital Pantai Melaka catat kejayaan julung kali guna teknologi robotik

LocalHealth & Fitness
10 Jun 2026 • 4:32 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Sinar baharu rawatan kanser tekak, Hospital Pantai Melaka catat kejayaan julung kali guna teknologi robotik

BAYANGKAN pembedahan kanser tekak yang dahulunya digeruni kerana prosedur yang rumit, kini boleh diselesaikan dalam masa kurang daripada satu jam sahaja. 

Langkah kanan buat sektor kesihatan di negeri bersejarah apabila Hospital Pantai Melaka (HPM) melakar pencapaian luar biasa selepas berjaya melaksanakan Pembedahan Robotik Transoral (TORS) yang pertama di Melaka dan selatan Malaysia. 

Bagi yang tertanya-tanya, apakah itu TORS? Ia merupakan teknik pembedahan invasif minimum (minimum trauma) yang membolehkan pakar bedah beroperasi di dalam kawasan tekak dengan bantuan sistem robotik.

Kejayaan itu membuktikan rawatan kanser kepala dan leher kini melangkah ke era baharu yang lebih jitu, kurang menyakitkan dan paling penting, mempercepatkan proses penyembuhan pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Melaka, Dr Kevin Khoo Teck Joon menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian ini yang disifatkannya sebagai komitmen berterusan pihak hospital dalam memperkasakan penjagaan kesihatan yang tepat menerusi teknologi perubatan inovatif. 

Beliau menambah, kejayaan itu adalah satu lonjakan besar dalam pembangunan pembedahan robotik bagi kepakaran telinga, hidung dan tekak (ENT) di wilayah selatan Malaysia.

Image from: Sinar baharu rawatan kanser tekak, Hospital Pantai Melaka catat kejayaan julung kali guna teknologi robotik

"Sebenarnya, TORS merupakan teknik pembedahan invasif minimum yang membolehkan pakar bedah beroperasi di dalam kawasan tekak dengan bantuan sistem robotik.

"Ini sekali gus mengurangkan trauma pembedahan dan memendekkan masa pemulihan," ujarnya.

Prosedur bersejarah itu diketuai Pakar Perunding Bedah ENT, Dr Ahmad Izani Mohd Safian, bersama pasukan multidisiplin yang terdiri daripada pakar bius serta kakitangan dewan bedah. 

Menggunakan sistem robotik canggih Da Vinci Xi, pembedahan tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh bawah satu jam.

Berkongsi lanjut mengenai kehebatan teknologi itu, pakar tersebut menjelaskan pembedahan dibantu robotik membolehkan mereka merawat kanser tekak yang sukar dengan tahap ketepatan yang lebih tinggi dan kurang trauma pada tisu sekeliling. 

"Apa yang lebih melegakan pesakit, bagi kes-kes terpilih, prosedur ini membantu memelihara fungsi penting seperti kebolehan bercakap dan menelan, di samping memastikan sel kanser dapat dibuang dengan berkesan. 

"Sistem pembedahan Da Vinci Xi ini menyediakan paparan visual tiga dimensi (3D) definisi tinggi yang dibesarkan, membolehkan akses pembedahan yang tepat ke kawasan sukar seperti pangkal lidah dan orofaring iaitu bahagian tengah tekak, sambil meminimumkan kecederaan pada tisu sihat di sekitarnya," kongsi pakar itu lagi.

Kisah kejayaan berkenaan turut dibuktikan menerusi seorang pesakit yang didiagnosis menghidap kanser tonsil kiri tahap lanjutan. 

Pada peringkat awal diagnosis, rawatan pembedahan standard memerlukan pembuangan sebahagian besar lidah, peti suara dan struktur leher yang pastinya menjejaskan fungsi pertuturan, penelanan dan pernafasan pesakit secara signifikan.

Bagaimanapun, selepas pesakit menjalani siri rawatan awal, keputusan imbasan menunjukkan perkembangan yang sangat baik apabila ketumbuhan kanser tersebut sudah mengecil dan hanya meninggalkan sedikit sahaja baki kuman kanser di kawasan tonsil kiri dan pangkal lidah. 

Image from: Sinar baharu rawatan kanser tekak, Hospital Pantai Melaka catat kejayaan julung kali guna teknologi robotik

Selepas berbincang dan mendapat nasihat daripada pasukan doktor pakar, pesakit bersetuju untuk memilih kaedah pembedahan robotik (TORS) bagi membuang baki kanser yang tinggal itu. 

Menurut Dr Ahmad Izani lagi, selepas sahaja pembedahan selesai, pesakit pulih dengan sangat cepat. 

"Pesakit sudah boleh makan dan minum macam biasa melalui mulut tanpa sebarang masalah, malah dibenarkan pulang ke rumah pada keesokan harinya. 

"Keadaan ini jelas membuktikan pembedahan bantuan robotik ini sangat bagus dalam membantu pesakit sembuh dengan cepat dan berasa lebih selesa," ujarnya lagi.

Dengan pencapaian terbaharu itu, HPM terus komited untuk memperluaskan keupayaan penjagaan kesihatan pakar demi memberikan pengalaman rawatan yang terbaik buat komuniti di Melaka dan seluruh wilayah selatan.