
TUMPAT – “Ahli sindiket mengacukan pistol dan beri amaran supaya saya tutup mulut ketika terserempak dengan mereka yang sedang menjalankan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).”
Itu dakwaan seorang penduduk yang berdepan detik cemas apabila terserempak dengan kegiatan sindiket penyeludupan migran di sekitar Kepulauan Tumpat, di sini sebelum ini.
Menurut penduduk yang enggan dikenali itu, kejadian berlaku ketika dia terserempak dengan ahli sindiket yang sedang mendaratkan migran di tebing Sungai Kelantan, dalam daerah itu.
“Suspek tiba-tiba mengacukan pistol seolah-olah memberi amaran agar saya tidak ganggu kerja mereka dan membocorkan kegiatan haram itu kepada pihak berkuasa,” katanya.
Dia berkata, ugutan terhadap penduduk yang terserempak dengan kegiatan sindiket terbabit bukan perkara baharu, malah kes seumpama itu sudah berulang kali dilaporkan media.
Dakwanya, beberapa rakannya yang juga nelayan darat turut terserempak dengan sindiket yang membawa senjata api, termasuk senapang berlaras panjang yang digunakan untuk mengawal proses pendaratan PATI.
September lalu, Kosmo! turut melaporkan seorang penduduk di Tumpat menerima ugutan selepas didakwa membuat laporan berhubung kegiatan penyeludupan PATI di Kepulauan Tumpat.
Sementara itu, menurut sumber, bayaran lumayan sehingga mencecah RM15,000 bagi setiap PATI dipercayai mendorong sindiket bertindak nekad menggunakan senjata api bagi melindungi kegiatan mereka.
“Mungkin migran ini dibawa masuk melalui laut menggunakan bot gentian kaca sebelum didaratkan di Kepulauan Tumpat yang agak terbiar.
“Mereka kemudian dipercayai dibawa keluar menggunakan kenderaan atau bot menuju ke Lembah Sireh, Kota Bharu, sebelum menaiki pengangkutan awam untuk keluar dari Kelantan,” katanya.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain pula berkata, PGA tidak mempunyai sebarang pengesahan mengenai dakwaan sindiket menggunakan senjata api ketika menyeludup PATI sepanjang menjalankan tangkapan di Lembah Sireh.
“Namun, aspek keselamatan anggota PGA dan orang awam sentiasa menjadi keutamaan. Setiap operasi dilaksanakan berdasarkan penilaian risiko, maklumat risikan dan situasi.
“Jika ada sebarang elemen ancaman, termasuk penggunaan senjata terhadap anggota penguat kuasa, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Menurutnya, cubaan menyeludup dan memindahkan PATI di kawasan Lembah Sireh dipercayai berlaku hampir setiap hari kerana ia lokasi itu mempunyai jaringan pengangkutan awam dan hubungan dengan beberapa laluan utama.
Berdasarkan rekod tangkapan, seramai 32 PATI termasuk tiga wanita dan seorang tekong darat rakyat tempatan ditahan di kawasan Lembah Sireh sepanjang tahun ini.
“Jumlah itu melibatkan 11 warga Myanmar termasuk dua etnik Rohingya, Indonesia (sembilan), Bangladesh (lima), India (empat) dan Pakistan (tiga).
“Angkat itu mencatatkan peningkatan lebih tiga kali ganda berbanding tahun lalu dengan hanya sembilan PATI ditahan di Lembah Sireh,” katanya.
Mengulas dakwaan penduduk yang sering melihat warga asing berada di kawasan Terminal Bas Kota Bharu, beliau berkata, terdapat kes-kes yang dikesan melibatkan warga asing tanpa dokumen yang berada atau menunggu pengangkutan di lokasi itu.
Bagaimanapun, katanya, tidak semua warga asing yang berada di terminal itu boleh dianggap sebagai PATI.
“Setiap warga perlu diperiksa berdasarkan dokumen perjalanan, status imigresen, maklumat risikan dan hasil siasatan sebelum tindakan diambil,” ujarnya.
Semalam Kosmo! melaporkan, kedudukan strategik Lembah Sireh menjadi antara pilihan lokasi transit sindiket untuk mendaratkan dan menyeludup PATI sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi tertentu bagi mencari pekerjaan.
Kewujudan Terminal Bas Kota Bharu yang menghubungkan dengan pelbagai destinasi selain kedudukannya berhampiran Sungai Kelantan, memudahkan sindiket mengatur perjalanan PATI pada waktu malam dan awal pagi.
Kebanyakan etnik Rohingya membayar RM15,000 kepada ejen untuk sampai ke sini dan ia menjadikan terminal bas itu menjadi antara lokasi penyeludupan migran walaupun menggunakan laluan dan destinasi berbeza.
The post ‘Sindiket acu pistol, beri amaran tutup mulut’ appeared first on Kosmo Online.

