Sindiket along rekrut 'rider': 35 ditahan termasuk penghantar makanan

LocalBusiness & Finance
15 May 2026 • 2:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sindiket along rekrut 'rider': 35 ditahan termasuk penghantar makanan
Mohd Khalid (tengah) dalam sidang akhbar di Bukit Aman, pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Seramai 35 individu termasuk penghantar makanan warga tempatan ditahan untuk siasatan selepas disyaki terbabit dalam sindiket pinjaman wang haram (along) dari Singapura.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tangkapan dibuat hasil operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Singapura (SPF) susulan laporan mengenai perkata itu.

"Mengenai dakwaan itu betul. Kita sudah menahan 35 orang melibatkan penghantar makanan dan pemilik keldai akaun.

"Tindakan ini masih lagi dibuat secara bersepadu dengan SPF dan kita akan cuba banteras kegiatan ini sebaik mungkin," katanya dalam sidang media Op Teguh 2.0 di Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Tambah Mohd Khalid, pihaknya mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang perjanjian atau urusan dengan individu yang tidak dikenali kerana polis akan menangkap dan mendakwa mereka yang terlibat termasuk pemilik akaun keldai.

Media sebelum ini melaporkan, penghantar makanan dari Malaysia dieksploitasi sindiket along Singapura untuk menghantar bungkusan berunsur gangguan kepada peminjam yang gagal melunaskan hutang.

Difahamkan mereka merekrut mangsa melalui kumpulan pekerjaan di aplikasi Telegram, dengan menyamar sebagai tawaran kerja pantas yang menawarkan upah sehingga SGD100 (RM308) bagi setiap penghantaran dengan alasan bungkusan tersebut adalah ‘hadiah kejutan’.