Sindiket dadah terbesar Sabah: Datuk, 10 ahli Geng Upik didakwa

22 Jan 2024 • 10:39 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Maslan (depan) dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu selepas selesai menjalani prosiding di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

image is not available
Prosiding mahkamah dikawal ketat oleh pihak polis di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Isnin.

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Kumpulan jenayah terancang 'Geng Upik' yang dipercayai didalangi Datuk Maslan Sani didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu di sini pada Isnin.

Kesemua tertuduh dibacakan pertuduhan tanpa direkodkan sebarang pengakuan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Menurut pertuduhan, tertuduh pertama dan kedua iaitu Rahman Burijin, 44, dan Jaysalfian Jaineh@Zaini, 45, antara 2018 dan 24 Disember 2023 di Kota Kinabalu telah menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Upik'.

Tertuduh ketiga pula, Mohd Fauzie Rablin, 33, dituduh antara 2022 dan 24 Disember 2023, keempat dan kelima, Shahlan Shah Abdul Samad, 37, dan Maslan Sani, 41, dituduh antara 2015 dan 24 Disember 2023, tertuduh keenam, Nelson Yen Yee Chung, 46, tertuduh ketujuh dan kelapan, Mohd Faridzul Asmahadi, 31, dan Fazrul Bahar, 32, dituduh antara 2020 dan 24 Disember 2023, tertuduh kesembilan, Alkan Abraham, 35, dituduh antara 2015 dan 24 Disember 2023 manakala dua lagi tertuduh iaitu Maslan Mahmud dan Mahathir Jibarail masing-masing berumur 49 tahun dituduh antara 2018 dan 24 Disember 2023.

**media[2508392]**

Kesemua mereka dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Upik' dan didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum seksyen yang sama.

Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nazran Mohd Sham, Siti Hajar Mat Radzi dan Nur Ainaa Ridzuan.

Sementara itu, Jaysalfian diwakili Mohd Amirul Amin, Mohd Fauzie diwakili peguam Sylyester Kuan, Shahlan Shah, Mohd Faridzul dan Fazrul diwakili peguam mereka Shahlan Jufri dan Mohd Lokman Zabidi.

Sebelum itu, Noor Hafizah menetapkan 1 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan tidak ada jaminan ditawarkan kepada semua tertuduh.