Sindiket dadah tumpas di Tawau, empat ditangkap

LocalPolitics
12 Jul 2025 • 9:13 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Amir Anuar

TAWAU: Polis melumpuhkan sebuah sindiket dadah susulan dua operasi berasingan dan merampas syabu 2.13 kilogram bernilai kira-kira RM74,500.

Empat lelaki ditangkap, termasuk ketua sindiket, yang dipercayai menjadikan stor bengkel kenderaan miliknya sebagai antara lokasi kegiatan pengedaran dadah di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata, kesemua suspek berumur antara 29 hingga 64 tahun, termasuk dua penduduk tempatan Tawau, seorang dari Sarawak dan seorang warga asing.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Tiga suspek, termasuk ketua mereka, ditangkap dalam serbuan ke sebuah bilik stor bengkel di Kampung Tator Hill Top, Isnin lepas kira-kira jam 11.30 pagi,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini, pada Jumaat.

Katanya, dalam serbuan itu, polis menemukan dua bungkusan plastik bergambar durian di dalam sebuah kotak, yang mengandungi dua paket lutsinar berisi ketulan-ketulan hablur jernih disyaki syabu.

Hasil soal siasat tiga tahanan itu membawa kepada pelaksanaan operasi kedua untuk memburu suspek keempat di Lapangan Terbang Tawau kira-kira dua jam kemudian.

“Suspek keempat ditangkap oleh pasukan polis di pekarangan lapangan terbang sebelum sempat berlepas dengan pesawat komersial ke Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal menunjukkan syabu itu mungkin dibawa masuk ke Tawau oleh suspek keempat melalui jalan darat, dengan bekalan disyaki diperolehi dari rangkaian pengedar dadah dalam negeri.

Jasmin berkata polis juga menyiasat kemungkinan hubungan kumpulan itu dengan jaringan sindiket pengedaran dadah rentas negeri.

“Empat suspek kini ditahan reman sehingga 15 Julai untuk siasatan lanjut, termasuk mencari saki-baki anggota mereka,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang dari 15 sebatan, jika sabit kesalahan.